Jatuh pangsapuri di Tampoi: Budak 10 tahun jalani pembedahan, masih kritikal di ICU

Jatuh pangsapuri di Tampoi: Budak 10 tahun jalani pembedahan, masih kritikal di ICU

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang terselamat selepas terjatuh dari sebuah blok pangsapuri 24 tingkat di Tampoi, di sini semalam, menjalani pembedahan hari ini.

Mangsa dilaporkan masih berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Bapa mangsa ketika dihubungi memberitahu dia masih sibuk mengurus Irfan yang mendapatkan rawatan di HSA.

“Saya mahu menghantar anak ke bilik pembedahan,” katanya ringkas.

Dalam kejadian pada Ahad lalu, dua beradik berkenaan terjatuh dari tingkat 12 blok pangsapuri tersebut dan ditemui berhampiran kawasan kolam renang premis berkenaan.

Kanak-kanak perempuan yang hanya dikenali sebagai Putri disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala abangnya, Irfan, mengalami kecederaan parah.

Polis menahan reman ibu kepada dua kanak-kanak berkenaan yang berusia 37 tahun bagi membantu siasatan kes mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Semakan mendapati warga Indonesia itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan air kencing juga bebas dadah.

Jenazah mangsa meninggal dunia yang dikenali Putri itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Impian Emas, semalam.

Dalam pada itu, rakaman video yang memaparkan dua beradik berkenaan terbaring di atas lantai pada hari kejadian tular di media sosial.

Polis sehubungan itu menggesa orang ramai memadamkan video berkenaan dan menghentikan penularannya di platform media sosial demi menjaga sensitiviti serta menghormati keluarga mangsa yang sedang berduka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top