Dewan Ulama Pas restui langkah putus kerjasama dengan Bersatu

Dewan Ulama Pas restui langkah putus kerjasama dengan Bersatu

ALOR SETAR: Dewan Ulama Pas menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian parti berkenaan menamatkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, kerjasama antara Pas dan Bersatu sebelum ini dibentuk berasaskan prinsip ta’awun siyasi yang menekankan konsep tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan kepentingan bersama.

Katanya, prinsip tersebut sepatutnya menjadi dukungan utama kepada agenda teras Pas yang diperjuangkan secara konsisten sejak sekian lama iaitu gagasan penyatuan ummah.

“Agenda untuk memperjuangkan gagasan penyatuan ummah ini adalah teras utama politik dan formula yang lebih ampuh bagi meruntuhkan wacana politik Pakatan Harapan (PH) dan DAP.

“Ia wajar digerakkan secara konsisten apatah lagi kesiapsiagaan jentera bagi menghadapi pilihan raya yang lebih strategik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun ujar Ahmad, kerjasama politik tersebut tidak lagi menatijahkan penyatuan ummah yang lebih besar seperti diharapkan, selain berdepan beberapa halangan tertentu.

Sehubungan itu, katanya, pendirian yang diumumkan Pas dilihat tepat pada masanya demi memastikan hala tuju perjuangan parti terus kekal berlandaskan prinsip yang diperjuangkan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut mengajak seluruh anggota dan pendukung Pas agar menerima keputusan yang dibuat oleh kepimpinan parti dengan jiwa besar serta semangat perjuangan yang tinggi.

“Insya-Allah apa jua yang diputuskan hari ini adalah selari dengan prinsip perjuangan Islam. Pas tidak akan berundur, bahkan akan terus melangkah lebih gagah,” katanya.

Semalam, Pas yang mengadakan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat membuat ketetapan untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, mesyuarat itu turut memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Jun lalu berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahah kerjasama politık Pas atas prinsip penyatuan ummah.

Selain itu, parti itu juga mahu meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya (electoral pact) demi penyatuan ummah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). – UTUSAN

Scroll to Top