Kerjaya Bell bermula untuk bantu kewangan keluarga

Kerjaya Bell bermula untuk bantu kewangan keluarga

SIRI 1

puterialia@hmetro.com.my

MENELUSURI susur galur empat dekad perjalanan sebagai anak seni, pembabitan Bell Ngasri dalam industri seni seawal usia enam tahun didorong untuk membantu meringankan beban kewangan keluarga dan bukannya bersandarkan kabel mahupun jalan pintas.

Memulakan langkah menerusi rancangan kanak-kanak dan iklan komersial, Bell atau nama sebenar Nasrizal Ngasri, 46, menyifatkan pembabitan awalnya bersama adik iaitu Darling Ngasri dan Anne Ngasri sebagai satu tanggungjawab besar yang dipikul sejak kecil.

“Kalau mula-mula saya berada dalam industri ini, memang sejak saya berumur enam tahun. Tahun yang sama juga adik-adik saya, Darling dan Anne yang baru berumur dua serta tiga tahun mula terbabit sama,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Bell mula aktif terbabit dalam naskhah filem seawal usia tujuh tahun apabila membintangi filem pertamanya berjudul Yassin arahan Tan Sri Kamarul Ariffin pada 1988.

Menginjak ke usia sembilan tahun, Bell mula diberikan kepercayaan untuk menggalas watak kanak-kanak yang lebih mencabar.

“Ketika berumur 12 tahun, saya sudah tercalon dalam Anugerah Sri Angkasa 1992 menerusi cerita Cinta Mastura.

“Walaupun tidak menang, tetapi ketika itu saya sudah tercalon sebaris dengan nama hebat seperti Allahyarham Tan Sri Dr Jins Shamsuddin dan Allahyarham Abu Bakar Omar,” katanya kepada RapXtra.

Bapa kepada tiga cahaya mata ini mengakui impak lakonannya apabila membawa watak orang kurang upaya (OKU) dalam drama Pa’e begitu melekat di hati peminat untuk tempoh yang agak lama.

Sementara itu, di sebalik status bapanya yang bekerja sebagai penyampai radio di Radio Televisyen Malaysia (RTM), Bell menolak tanggapan bahawa pembabitan awalnya dan adik dalam dunia seni disebabkan ‘kabel’ atau jalan pintas semata-mata.

“Bapa saya kerja di RTM dan dikenali ramai orang. Jadi, apabila pengarah mahu cari kanak-kanak yang senang berlakon, orang selalu kata ‘guna sahajalah anak Ngasri Sain itu’. Sebab bapa saya pun orang kenal masa zaman itu, jadi itu mungkin salah satu sebabnya.

“Tetapi yang paling penting adalah mak saya. Mak yang paling aktif bawa anak pergi uji bakat. Sebab utama, saya dan adik-adik berlakon ini adalah untuk membantu keluarga.

“Asal usulnya kami mahu bantu keluarga sebab kami bukanlah datang daripada keluarga yang senang. Kami bekerja untuk bantu ayah yang bekerja sebagai penyampai radio ketika itu,” katanya.

Mengimbas kembali memori awal bergelar anak seni, Bell berkongsi kisah menarik tentang pembawaan wataknya yang bersahaja sering menjadi rebutan penerbit dan pengarah ketika itu.

Malah, wajahnya sudah mula menghiasi pelbagai drama televisyen ekoran lambakan peluang di samping kurangnya persaingan dalam kalangan pelakon kanak-kanak pada era itu.

“Mereka berani panggil saya berlakon sebab masa mula-mula buat iklan, lakonan saya itu mereka kata nampak agak ‘natural’ dan macam kanak-kanak yang tidak berlakon.

“Walhal sebenarnya, memang saya tidak tahu pun saya sedang berlakon. Jadi, sebab itulah lakonan saya nampak ‘natural’.

“Zaman itu pula pelakon kanak-kanak tidak ramai, jadi peluang untuk berlakon itu banyak untuk saya. Saya dan adik-adik mula berlakon daripada kami tidak boleh berdialog dan tidak boleh membaca.

“Walaupun dalam umur masih muda, tetapi kami sudah tahu tanggungjawab untuk selesaikan kerja dengan baik,” katanya.

Bell turut berkongsi apabila dia terpaksa belajar berdikari sejak zaman kanak-kanak apabila dia sudah terbiasa mengikut pengurusan produksi untuk ke lokasi penggambaran tanpa ditemani keluarga terdekat.

“Sejak kanak-kanak, saya sudah ikut orang pergi sana sini. Saya naik kereta dengan ‘runner’ produksi ataupun dengan pemandu van sehinggalah umur saya mencecah 17 tahun,” katanya.

Mengimbas momen yang tidak akan dilupakan, Bell mendedahkan dia sudah berani merantau ke pelbagai negeri bersendirian menaiki bas ekspres seawal usia 10 tahun demi memenuhi tuntutan penggambaran.

“Ketika saya berumur dalam 10 tahun, saya sudah naik bas seorang diri sampai ke macam-macam negeri seperti Johor dan Kedah.

“Ketika saya berusia 14 tahun pula, saya perlu berulang-alik naik bas dari Kuala Lumpur ke Sintok, Kedah untuk penggambaran drama.

“Saya perlu naik bas selama lapan jam. Kalau bas rosak, waktu perjalanan boleh meleret sampai 9 hingga ke 10 jam,” kongsinya.

Biarpun terpaksa mengorbankan fasa riang zaman kanak-kanak demi tuntutan kerja, segala jerih perih menaiki bas ekspres dan berdikari sebenarnya membentuk Bell Ngasri untuk terus bernafas dalam industri seni yang penuh pancaroba ini.

ESOK: Pernah disuruh ‘berhijrah’, Bell pilih untuk bertahan dalam industri seni demi keluarga.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top