am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Kerajaan negeri sedang mempergiat usaha menambah baik sistem bekalan di seluruh negeri susulan isu gangguan air yang masih menjadi antara masalah utama rakyat ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Kelantan Datuk Dr Izani Husin berkata, pihaknya sudah merancang pelbagai projek penambahbaikan sejak beberapa tahun lalu termasuk pembinaan loji baharu bagi meningkatkan kapasiti bekalan air di negeri berkenaan.
Beliau berkata, sebanyak 43 loji rawatan air (LRA) sedia ada ketika ini belum mampu menampung permintaan pengguna di seluruh negeri.
“Sejak 2023, kerajaan negeri sudah merancang 17 projek baharu, sekiranya semua berjaya disiapkan menjelang 2030, Kelantan dijangka memiliki kira-kira 60 LRA yang mampu membekalkan bekalan air mencukupi kepada seluruh rakyat.
“Ketika ini, pengeluaran air terawat di Kelantan ketika ini berjumlah 529 juta liter sehari dan belum mencukupi untuk memenuhi permintaan pengguna.
“Bagaimanapun, kapasiti itu dijangka meningkat kepada 884 juta liter sehari menjelang 2030 menerusi projek baharu yang sedang dirancang dan dibina.
“Ia sekali gus memastikan bekalan air lebih mencukupi mengikut keperluan rakyat,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas Taklimat Berkaitan Status Semasa Bekalan Air Di Negeri Kelantan serta Persediaan Sambutan Hari Raya Aidiladha 2026, di sini, hari ini.
Katanya, jajahan Tumpat dan Pasir Mas antara kawasan yang mencatatkan masalah bekalan air paling tinggi ketika ini, namun bekalan air di Jeli dan Gua Musang berada dalam keadaan baik.
Mengulas persiapan bekalan air ketika musim Aidiladha dan cuti panjang, beliau berkata pihaknya sudah membuat pelbagai persediaan bagi memastikan bekalan air kepada rakyat berada pada tahap terbaik.
“Kami sudah menambah jumlah lori tangki air serta menyediakan tambahan tangki air statik di kawasan hotspot yang sering mengalami gangguan bekalan.
“Walaupun gangguan air berlaku secara berbeza mengikut hari dan lokasi, kita sudah menyediakan pelan tindakan termasuk penghantaran lori air dan penempatan tangki statik di kawasan yang benar-benar terdesak,” katanya.
Katanya, rakyat digalakkan memanfaatkan aplikasi digital ‘myAKSB’ bagi memudahkan urusan aduan berkaitan bekalan air.
© New Straits Times Press (M) Bhd




