bhnews@bh.com.my
GOMBAK: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan membentangkan Kertas Kabinet mengenai dasar baharu pelaburan negara Rabu ini dalam usaha menarik lebih ramai pelabur berkualiti tinggi.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dasar itu akan dilaksana serta merta sebaik mendapat kelulusan Kabinet.
“Hari Rabu ini saya akan membentangkan Kertas Kabinet mengenai dasar pelaburan negara baharu yang akan kita laksana serta merta.
“Dalam lawatan kerja saya ke Jepun dan Korea Selatan baru-baru ini pun, mereka menyambut baik langkah kerajaan memperkenalkan dasar ini yang memberikan tumpuan kepada inovasi teknologi dan digital kerana ini masa depan di rantau ini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata demikian ketika ditemui media selepas selesai mengiringi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin menunaikan solat Isyak dan Tarawih di Masjid Jamek Al-Amaniah di sini, malam ini.
Mohamed Azmin berkata, menerusi dasar baharu itu, kerajaan akan memastikan ia sejajar dengan garis panduan ditetapkan pihak antarabangsa iaitu Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
“Inilah usaha sedang dilaksana kementerian. Kita sudah nampak hasilnya kerana dalam lawatan saya ke Jepun dan Korea Selatan baru-baru ini pun, di sana saja kita dapat persetujuan pelaburan bernilai RM6 bilion dengan syarikat gergasi Jepun dan Korea Selatan,” katanya.
Mengulas komitmen pelaburan baharu Microsoft di bawah inisiatif Microsoft Bersama Malaysia hari ini, beliau berkata, ia satu perkembangan baik kerana mencipta nilai dan kualiti tenaga kerja tempatan dengan memindahkan teknologi kepada negara ini.
“Hari ini kita terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing dan ini perlu kita hentikan serta segera beralih kepada pelaburan berteknologi tinggi supaya ia boleh mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat dengan pendapatan tinggi.
“Kita juga harus menyediakan tenaga kerja kita dengan kemahiran dan bakat tertentu untuk memenuhi permintaan industri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
