am@hmetro.com.my
Shah Alam: Kertas siasatan berhubung kejadian seekor anjing yang disahkan mati dalam satu operasi menangkap anjing liar di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang, pada 29 Julai lalu sudah diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey mengesahkan perkara itu dan memaklumkan laporan berkenaan dihantar semalam.
“Kertas siasatan kes ‘Rocky’ telah dirujuk ke (pejabat) Timbalan Pendakwa Raya (TPR), semalam. Kita masih menunggu arahan lanjut,” katanya ringkas, hari ini.
Sebelum ini, polis membuka kertas siasatan membabitkan kematian anjing mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan.
Siasatan susulan kejadian itu dipercayai mempunyai unsur khianat terhadap haiwan.
Lim berkata, anjing berkenaan disahkan mati dalam kejadian pada 29 Julai, kira-kira 10.50 malam di hadapan sebuah rumah di lokasi berkenaan.
Polis juga memberi jaminan penuh bahawa siasatan berkenaan insiden anjing mati ketika operasi tangkapan anjing liar oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), itu dijalankan secara adil, telus dan profesional.
© New Straits Times Press (M) Bhd




