Dubai: Robot paling terkenal di Dubai, Bu Sunaidah, mencuri perhatian selepas ‘berkahwin’ dengan sebuah lagi robot humanoid bernama Moza dalam satu majlis yang dikongsi syarikat pengendalinya, baru-baru ini, lapor Gulf News.
Majlis itu memaparkan robot berkenaan memakai abaya hitam dengan kemasan emas, manakala beberapa lelaki berbaju pakaian tradisional lelaki (kandura) berdiri di kedua-dua belahnya.
Bagaimanapun, ‘perkahwinan’ itu ikatan sah dari sudut undang-undang atau agama, sebaliknya hanya kandungan yang dihasilkan oleh syarikat yang mengendalikan robot berkenaan.
Difahamkan, hantaran itu menerima lebih 41,000 tanda suka, lebih 2,300 komen dan kira-kira 109,000 perkongsian dalam tempoh tiga hari, menjadikannya antara detik terbesar Bu Sunaidah.
Bu Sunaidah adalah robot humanoid Unitree G1 yang dibangunkan untuk tujuan penyelidikan, pendidikan dan demonstrasi interaktif, selain dikenali menerusi video berkaitan budaya, tradisi serta acara awam.
Robot itu dibangunkan oleh Kumpulan SS Lootah dan ketuanya, Yousif Lootah, pernah tampil bersamanya dalam beberapa acara.
Populariti Bu Sunaidah meningkat selepas ia muncul bersama Perdana Menteri UAE Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum berhampiran Emirates Towers sebelum menjadi antara ‘tetamu tetap’ dalam acara berprofil tinggi termasuk forum ‘Make it in the Emirates’ di Abu Dhabi pada Jun lalu.
Pada Jun lalu, rakaman video yang menunjukkan robot itu seolah-olah menyertai jemaah menunaikan solat Aidiladha di sebuah masjid di Dubai turut menjadi tular dan mencetuskan pelbagai reaksi.
Ini bukan perkahwinan robot pertama yang mendapat perhatian di Dubai selepas pempengaruh teknologi Iraq, Ali Assem, mengadakan perkahwinan olok-olok dengan ChatGPT berhampiran Burj Khalifa, tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




