Kes babit ibu Neelofa diambil alih polis Selangor untuk siasatan rapi

Sejak semalam, kecoh di media sosial berhubung posting Instagram (IG) Story membabitkan ibu kepada selebriti popular Neelofa iaitu Datin Noor Kartini Noor Mohamed.

Terbaru, menurut laporan Harian Metro, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal mengesahkan kes itu sudah diambil alih oleh polis Selangor untuk siasatan secara rapi.

“Keterangan wanita terbabit sudah diambil pihak polis sebelum ini. Bagaimanapun jika perlu, pihak polis akan memanggilnya semula untuk membantu siasatan,” katanya.

Sebelum ini, polis Kuala Lumpur sudah memulakan siasatan kes IG Story itu yang berbaur penghinaan kepada Sultan Johor selepas usahawan berusia 54 tahun tersebut membuat laporan polis, petang semalam.

IG Story berkenaan memaparkan gambar laporan berita disiarkan TV3 bertajuk ‘Sultan Johor Cadang Sekatan Penuh Bersasar’ yang disertakan kritikan peribadi di akaun Instagram milik Noor Kartini.

Bagaimanapun, Noor Kartini menafikan dia memuat naik IG Story tersebut sebaliknya mendakwa kecuaian pengurus media sosialnya yang tersilap menggunakan akaun @noorkartini.

Sumber: Harian Metro (Mohd Jamilul Anbia Md Denin) , Instagram Noor Kartini