JAKARTA: Kenaikan kes COVID-19 di Indonesia belum mencapai puncaknya dan kemungkinan lonjakan berlaku selepas cuti panjang, terutama cuti Aidilfitri, menurut pakar perubatan.
Dr Maria Ulfa daripada klinik ANTARA News Agency, berkata, kes jangkitan sudah mulai meningkat, tetapi belum mencapai puncaknya, berikutan itu orang ramai perlu berjaga-jaga terhadap kemungkinan berlakunya lonjakan.
Beliau berkata demikian dalam ceramah Ranger Talk secara maya bertajuk “Berhati-hati terhadap lonjakan kes COVID-19 selepas Aidilfitri” di sini semalam.
Dr Maria Ulfa berkata, jumlah kes COVID-19 meningkat pada Mei dan kenaikan ini dijangka akan berterusan selepas cuti dua minggu lalu.
Memetik portal berita antaranews.com, beliau juga mengingatkan mengenai tempoh inkubasi 14 hari sejak mula dijangkiti sehingga gejala muncul.
Katanya, ketika bercuti orang ramai mungkin tidak bergejala kerana masih di dalam tempoh inkubasi.
Oleh itu, beliau meminta masyarakat untuk tetap berhati-hati dan mencegah penularan dengan menjaga tahap imun badan mereka, sentiasa berdoa, dan secara konsisten mengamalkan 5M iaitu memakai pelitup muka, mencuci tangan, menjaga penjarakan, menjauhkan diri dari orang ramai, dan mengehadkan pergerakan.
Dr Maria Ulfa berkata, bagi membendung penyebaran COVID-19, orang ramai digesa supaya berhati-hati jika rakan atau ahli keluarga menunjukkan gejala, seperti menggigil atau demam, batuk, hidung berair, dan sakit tekak.
Beliau berkata, mereka yang mempunyai simptom mesti dikuarantin sehingga diuji negatif.
Katanya, jika rakan sekerja atau rakan mengalami gejala, seperti selesema, dan batuk, orang ramai disarankan mengarahkan individu berkenaan untuk berehat di rumah bagi mencegah kemungkinan penularan COVID-19.
“Jangan biarkan mereka pergi ke pejabat selama berhari-hari dengan demam, batuk, dan hidung berair, kerana dikhuatiri rakan sekerja lain di pejabat dan keluarga mungkin mengalami gejala sama.
“Kuarantin diri harus dilakukan untuk mencegah penularan baik di pejabat dan di rumah.
“Kita harus melindungi diri dan lingkungan. Jika ada yang menunjukkan gejala, mereka harus segera diminta untuk mengasingkan diri dan mengunjungi doktor,” tegasnya.
Katanya, kuarantin diri atau pengasingan mesti dilakukan untuk mereka yang mengalami gejala ringan.
Di samping itu, pesakit perlu memantau tahap ketepuan oksigen mereka secara berkala untuk memastikan mereka berada dalam keadaan sihat. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd




