harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jumlah kehilangan kereta akibat kecurian berkurangan 90 peratus iaitu kira-kira 4,000 kes pada tahun lalu berbanding 38,000 jumlah paling tinggi dicatatkan pada 2013.
Pengerusi Majlis Pengurangan Kecurian dan Kemalangan Kenderaan Malaysia (VTAREC), Datuk Lokman Jamaan berkata, ia sebahagian besarnya hasil kerja keras mereka bersama agensi penguat kuasa dan pemegang taruh sejak ia ditubuhkan pada 2007.
“Tahun 2013 pernah mencatatkan kehilangan kenderaan paling tinggi melebihi 38,000 setahun (mengikut statistik pihak industri insurans).
“Kini, berasaskan statistik tahun 2024 jumlah kecurian kepada lingkungan 4,000 unit sahaja, kita berharap jumlah kecurian kenderaan ini akan terus dapat diturunkan dengan kerjasama erat dari pelbagai pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri VTAREC 2025M/1446H dan Menyantuni Rakan Media, di sini, hari ini.
Lokman berkata, atas kejayaan menurunkan kadar kecurian kenderaan secara drastik mereka kini turut ditugaskan untuk memainkan peranan penting iaitu menurunkan kadar kemalangan jalan raya.
Sehubungan itu katanya, nama lama Majlis Pengurangan Kecurian dan Kemalangan Kenderaan Malaysia (VTREC) ditukarkan kepada VTAREC, di mana abjad ‘A’ bermaksud ‘kemalangan’.
Menyentuh berkenaan peranan pengamal media, Lokman menekankan kepentingan tugas media dalam membentuk naratif pembangunan negara.
“Media memainkan peranan besar dalam memudahkan pemahaman orang ramai terhadap topik kritikal, termasuk isu berkaitan kes kecurian kenderaan dan kemalangan jalan raya.
“Saya melihat pengukuhan peranan dan sumbangan rakan media berkaitan isu kecurian kenderaan dan kemalangan jalan raya adalah amat penting.
“Rakan media adalah medium penyambung suara antara pihak VTAREC dan orang ramai,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




