Kes edar dadah guna kurier naik

PETALING JAYA: Sebanyak 57 kes membabitkan penyalahgunaan perkhidmatan kurier untuk penghantaran dadah direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh Januari hingga Jun lalu, sekali gus menunjukkan kaedah berkenaan semakin menjadi pilihan sindiket pengedaran dadah.

Trend itu turut menyaksikan penggunaan perkhidmatan kurier oleh sindiket meningkat hampir dua kali ganda, mendorong PDRM memperketat kerjasama dengan pihak berkaitan bagi mengekang kegiatan berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, jumlah itu menyaksikan kes yang dikesan bagi tempoh Januari hingga Jun lalu sudah hampir menyamai keseluruhan 65 kes yang direkodkan sepanjang tahun lalu.

Daripada jumlah berkenaan, katanya, sebanyak 16 tangkapan dibuat, manakala keseluruhan rampasan membabitkan 1,550.13 kilogram dadah serta 13,957.38 liter bahan terlarang.

“Statistik kes dan tangkapan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 itu menunjukkan perkhidmatan kurier semakin menjadi antara kaedah yang digunakan sindiket untuk menggerakkan bekalan dadah tanpa perlu berurusan secara bersemuka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Hussein mendedahkan, penghantaran dadah menggunakan beberapa jenama terkenal perkhidmatan penghantaran merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 22 kes dan lima tangkapan telah dibuat.

Ia diikuti dua jenama khidmat kiriman ekspres dan kurier, masing-masing lima kes dengan merekodkan tiga tangkapan.

“Ada juga penghantaran jenama antarabangsa yang merekodkan empat kes dan satu tangkapan, manakala sebuah lagi jenama merekodkan tiga kes dan tiga tangkapan.

“Turut dicatatkan tiga kes dan dua tangkapan membabitkan khidmat penghantaran, manakala dua syarikat lagi merekodkan satu kes dengan satu tangkapan,” katanya.

Sepanjang tempoh berkenaan turut merekodkan 1,545.17 kilogram dadah dirampas terdiri daripada 1,347.54 kilogram (kg) kristal syabu, ketamin (65.38 kg), ganja (59.11 kg) dan pil ekstasi (58.86 kg).

Sebanyak 13,955.38 liter dadah dalam bentuk cecair turut dirampas, terdiri daripada heroin (9,887.40 liter), MDMA (4,064 liter) dan kokain (3.98 liter).

“Turut dirampas ialah 4.96 kilogram ketum dan dua liter cecair ketum,” ujarnya.

Hussein menegaskan, berdasarkan statistik itu, penggunaan perkhidmatan penghantaran sebagai medium kegiatan penyeludupan dilihat bukan lagi bersifat terpencil, sebaliknya merangkumi pelbagai syarikat dan platform penghantaran.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, PDRM mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Pengangkutan bagi memperketat prosedur perkhidmatan kurier, penghantaran barang dan p-hailing.

Ia sebahagian usaha pihak berkuasa itu untuk membanteras penyeludupan dadah dan barangan terlarang lain menggunakan perkhidmatan berkenaan.

Di bawah cadangan itu, penghantaran dan pengambilan barang hanya dilakukan di lokasi tertentu yang mempunyai sistem rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Langkah itu bagi membolehkan pihak berkuasa mengesan penghantar dan pemilik barangan dengan lebih mudah sekiranya ia melibatkan penyeludupan, khususnya dadah.

Sekarang, sindiket menggunakan kelompangan dalam ekosistem perkhidmatan kurier dan p-hailing dalam penghantaran bahan-bahan terlarang seperti dadah sama ada secara kecil-kecilan atau dalam amaun yang besar. – UTUSAN

Scroll to Top