Apabila ego menguasai organisasi

Terlebih syok sendiri dan budaya ego dalam organinasi adalah dua isu yang sering berlaku, tetapi jarang dibincangkan secara mendalam. Syok sendiri merujuk kepada sikap terlalu yakin dengan diri atau pencapaian tanpa menyedari kelemahan sebenar atau tanpa mendapat pengiktirafan daripada orang lain.

Dalam organisasi, ia muncul apabila seseorang atau kumpulan berasa hebat dengan pencapaian kecil, menganggap diri lebih penting daripada pasukan dan tidak menerima kritikan atau pandangan orang lain. Ia turut berkaitan dengan menutup kelemahan dengan pujian terhadap diri sendiri atau bangga diri berlebihan.

Jadi, sikap syok sendiri itu turut memberi kesan besar kepada organisasi terutama merosakkan budaya kerja apabila anggota lain akan hilang semangat apabila melihat sikap berlebihan tanpa hasil nyata. Ia turut menghalang perkembangan kerana orang yang syok sendiri enggan belajar atau menerima teguran selain mencetuskan konflik kerana sikap terlalu menonjolkan diri boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam pasukan.

Lebih parah lain, ia mengurangkan kepercayaan kerana organisasi bakal kehilangan kredibiliti apabila pemimpin atau anggota lebih sibuk memuji diri daripada bekerja. Cara utama atasi sikap syok sendiri ialah amal budaya muhasabah iaitu menggalakkan anggota menilai diri secara jujur, bukan sekadar berbangga.

Selain itu, pengiktirafan berasaskan prestasi dengan menghargai pencapaian sebenar, bukan sekadar kata-kata. Kepemimpinan melalui teladan cukup penting kerana pemimpin mesti menunjukkan kerendahan hati, bukan syok sendiri, selain mengamalkan komunikasi terbuka dengan mewujudkan ruang untuk teguran membina.

Perlu diingat, fokus pada pasukan dengan menetapkan betapa kejayaan organisasi adalah hasil kerjasama sepasukan, bukan individu semata-mata. Syok sendiri mungkin memberi kepuasan sementara, tetapi ia tidak membawa kejayaan jangka panjang. Organisasi yang berjaya ialah organisasi yang membina budaya rendah hati, menghargai usaha bersama dan sentiasa terbuka kepada pembelajaran.

Jelas, kejayaan sebenar bukanlah apabila kita memuji diri sendiri, tetapi ketika orang lain melihat hasil kerja kita dan menghargainya. Sikap ego dalam pasukan adalah satu isu yang sering melemahkan organisasi jika tidak ditangani dengan bijak. Ego ialah sikap terlalu mementingkan diri, berasa diri lebih hebat daripada orang lain dan enggan menerima teguran.

Dalam pasukan, ego boleh muncul dalam bentuk apabila anggota yang mahu menonjolkan diri melebihi orang lain dan pada masa sama, pemimpin yang enggan mendengar pandangan bawahan. Pasukan pula lebih sibuk bersaing sesama sendiri daripada mencapai matlamat bersama. Jadi, sikap ego itu boleh memecahbelahkan pasukan kerana ia melahirkan puak kecil yang melemahkan kerjasama, selain menghalang komunikasi kerana anggota enggan berkongsi maklumat kerana takut dikritik atau diremehkan.

Sikap ego itu boleh merosakkan budaya kerja apabila fokus beralih daripada kejayaan organisasi kepada kepuasan diri, selain menurunkan prestasi apabila tenaga dihabiskan untuk mempertahankan ego, bukan menyelesaikan masalah. Pada masa sama, pemimpin yang memiliki keegoan terlalu tinggi akan kehilangan kepercayaan pasukan.

Cara mengatasi ego dalam pasukan bermula dengan budaya rendah hati iaitu mengingatkan betapa sesuatu kejayaan adalah hasil kerjasama, bukan individu. Pemimpin pula perlu berlapang dada dan terbuka menerima teguran, di samping komunikasi jujur dengan mewujudkan ruang untuk perbincangan tanpa rasa takut.

Pengiktirafan perlu seimbang dengan menghargai semua sumbangan, bukan hanya yang menonjol.

Pasukan berjaya ialah yang mampu menundukkan ego dan mengangkat kerendahan hati sebagai kekuatan. Pasukan hebat bukanlah pasukan tanpa ego, tetapi pasukan yang mampu mengawal ego demi kejayaan bersama.

Kesimpulannya, syok sendiri adalah racun halus dalam organisasi kerana ia boleh melemahkan semangat pasukan dan menjejaskan reputasi. Namun, dengan budaya muhasabah, integriti dan kepemimpinan teladan, organisasi boleh menyucikan sikap ini dan melahirkan pasukan yang benar-benar berkarisma.

Bahaya ego dalam pasukan boleh menghancurkan organisasi dari dalam. Namun, dengan kepemimpinan berkarisma, budaya rendah hati dan komunikasi telus, ego boleh ditundukkan dan ditukar menjadi tenaga positif untuk kejayaan bersama.

Syok sendiri dan ego adalah racun halus yang merayap dalam organisasi, ia tidak menjerit, tetapi perlahan-lahan melumpuhkan semangat pasukan dan merosakkan reputasi. Lebih parah, ia boleh menghancurkan organisasi dari dalam tanpa perlu musuh di luar. Namun, jangan lupa, racun hanya berkesan jika kita biarkan ia meresap. Dengan budaya muhasabah, integriti yang teguh, komunikasi telus dan kepimpinan berkarisma yang rendah hati, racun itu boleh ditukar jadi penawar.

Jika ada yang masih mahu syok sendiri dan ego tinggi, ingatlah organisasi bukan pentas untuk melayan perasaan sendiri. Ia adalah gelanggang perjuangan bersama. Mereka yang terlalu sibuk memuji diri akan akhirnya hanya bertepuk tangan seorang diri, sementara kejayaan sebenar diraikan oleh pasukan yang tahu cara menundukkan ego.

Penulis Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Seri Alam, Johor

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top