Pada 31 Ogos ini, genaplah kemerdekaan Malaysia ke-69, dan setiap kali menjelang tarikh keramat ini, rakyat Malaysia akan mengenang detik bersejarah negara mencapai kemerdekaan. Setiap tahun pasti akan ada sambutan kemerdekaan ini di pelbagai peringkat bagi meraikan kejayaan ini sehingga pada hari ini kita bebas melakukan pelbagai aktiviti harian.
Maka oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia wajib bersyukur atas nikmat kurniaan Allah SWT.
Namun begitu, laungan keramat ‘merdeka!’ yang bergema ini bukan sekadar tanda berakhirnya suatu penjajahan, tetapi simbol harapan untuk membina sesebuah negara yang berdaulat, bersatu dan bermaruah. Kemerdekaan bukan hanya bebas daripada kuasa asing, namun jauh lebih besar ialah kebebasan daripada segala bentuk budaya yang merosakkan keharmonian masyarakat dan jiwa bangsa seperti budaya provokasi.
Budaya provokasi mencetuskan fitnah, kebencian, rasa terancam dan manipulasi emosi.
Sesebuah negara mungkin dilihat berdaulat dengan memiliki struktur pentadbiran, kerajaan, bendera dan sempadan sendiri. Bagaimanapun, perpaduan akan rapuh jika rakyatnya tidak harmoni kerana terpengaruh oleh provokasi berbentuk hasutan yang boleh memecah-belahkan kesatuan.
Provokasi boleh dimainkan oleh sesetengah pihak untuk menguatkan pengaruh, mengejar sesuatu matlamat tanpa mengira implikasi terhadap negara dalam mempertahankan kemerdekaan. Amalan provokasi ini berjaya berkembang dengan cepat kerana ia mudah tersebar menggunakan media sosial.
Provokasi ancaman senyap terhadap kemerdekaan. Dalam dunia moden, penjajahan boleh hadir melalui pemikiran yang diracuni maklumat palsu, fitnah, provokasi yang disebarkan dan ini menyebabkan emosi masyarakat terganggu dan dipermainkan. Budaya provokasi boleh berkembang apabila seseorang sengaja mencetuskan kemarahan, ibarat siraman minyak ke dalam api untuk menyemarakkan kemarahan, kebencian, emosi dan permusuhan terhadap golongan tertentu.
Dengan provokasi, akan mencetuskan konflik dan pergaduhan. Provokasi yang sering kali berbangkit khususnya dalam negara ini melibatkan isu sensitif seperti perkauman, agama atau politik boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan kemarahan dalam kalangan masyarakat. Apabila sesuatu pihak menyebarkan hasutan yang berbentuk provokasi dan di dalamnya berbaur fitnah atau kenyataan menghina pihak lain, hubungan antara rakyat berbilang bangsa dan etnik ini boleh menjadi tegang dan kesannya akan menimbulkan perselisihan yang parah.
Perkara ini kadangkala nampak kecil, tetapi jika keadaan ini tidak dapat dikawal, konflik yang awalnya kelihatan kecil boleh berubah menjadi lebih besar sehingga mencetuskan pergaduhan atau rusuhan dalam negara. Situasi ini akan mengakibatkan keamanan dan kestabilan sesebuah negara itu tergugat sekali gus akan melemahkan perpaduan rakyat yang menjadi tunggak kemerdekaan sesebuah negara.
Adakah provokasi ini boleh melemahkan perpaduan negara? Jawapannya ya! Perbuatan ini boleh melemahkan perpaduan negara kerana ia boleh menimbulkan perasaan benci, curiga dan tidak percaya antara anggota masyarakat. Keadaan ini menyebabkan rakyat lebih mementingkan kepentingan kelompok masing-masing berbanding kepentingan negara.
Jika perpaduan semakin lemah, negara akan menjadi tidak stabil dan mudah terdedah kepada ancaman dalaman atau campur tangan pihak luar. Oleh itu, perpaduan rakyat dalam negara Malaysia ini amat perlu dipelihara dan dipulihara agar kemerdekaan serta kedaulatan negara ini terus terjamin.
Kalau kita menelusuri sejarah pembukaan Kota Madinah yang dipimpin oleh junjungan mulia Rasulullah SAW, baginda menerapkan perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama serta mengelak provokasi yang akan mengundang perpecahan. Pendekatan ini boleh menjadi rujukan dalam negara kita.
Antara pendekatannya adalah menggubal Piagam Madinah. Nabi Muhammad SAW memperkenalkan satu perjanjian yang mengatur hubungan antara kaum Muhajirin, Ansar, Yahudi dan kelompok masyarakat lain. Piagam ini menekankan hak bersama, tanggungjawab, keamanan dan kerjasama dalam mempertahankan Madinah. Langkah ini terbukti mengurangkan perselisihan dan mengelakkan pihak tertentu daripada mencetuskan provokasi dan permusuhan.
Selain itu, baginda juga mengamalkan sikap adil terhadap semua masyarakat dan menggalak perdamaian. Rasulullah SAW tidak membezakan layanan berdasarkan kaum atau agama.
Setiap golongan diberikan hak untuk hidup dengan aman dan menjalankan kepercayaan masing-masing. Selain itu juga, baginda senantiasa menyeru umat Islam supaya menjaga hubungan baik, menghormati perbezaan dan menyelesaikan sebarang konflik melalui perbincangan.
Amalan provokasi ini mempengaruhi emosi masyarakat. Apabila emosi mengatasi pertimbangan, kebenaran sering menjadi mangsa, dan perkara ini amatlah dilarang dalam agama Islam. Dalam hal ini, Islam memberikan garis panduan yang sangat jelas dan ia perlu kita ikuti. Hal ini seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 6 yang bermaksud “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seseorang fasik membawa sesuatu berita, selidikilah (kebenarannya), supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini kerana kejahilan, sehingga kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan.”
Ayat ini jelas menjadi prinsip asas yang penting dalam membina sebuah masyarakat matang, harmoni dan teliti dalam menerima suatu perkara yang bersifat provokasi. Lisan yang tidak dikawal boleh mengakibatkan hancurnya kemerdekaan sesebuah negara. Apabila berlaku perpecahan, tuduh-menuduh, perasaan tidak selamat rakyat kerana berasa agama, bangsa dan diri masing-masing terancam. Agama Islam tidak melarang manusia daripada memberikan pandangan, namun ada adab dan etika yang perlu dipatuhi agar tidak membawa implikasi negatif pada kemudian hari.
Kesimpulannya, menjaga kemerdekaan sesebuah negara ini adalah berat dan mencabar. Maka kita sebagai rakyat terutama yang beragama Islam diberikan panduan oleh Allah SWT dan dibimbing oleh Nabi Muhammad SAW. Baginda SAW juga pernah mengingatkan kita melalui sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Justeru itu, marilah kita menjaga keharmonian sesama rakyat berbilang kaum dan agama dalam negara ini bagi memastikan kestabilan, keharmonian serta keselamatan dalam negara terus kukuh demi mengekalkan kemerdekaan.
Penulis Ketua Jabatan Syariah Islamiyyah, Kolej Islam As Sofa
© New Straits Times Press (M) Bhd
