Kes gangguan seksual: Ebit Lew diarah bela diri atas 11 pertuduhan

Kes gangguan seksual: Ebit Lew diarah bela diri atas 11 pertuduhan

TENOM: Mahkamah Majistret di sini semalam memerintahkan pendakwah terkenal, Ebit Irawan Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Ebit Lew, membela diri atas 11 pertuduhan gangguan seksual terhadap seorang wanita, yang didakwa berlaku kira-kira lima tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Majistret Nur Asyraf Zolhani selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, beliau menegaskan bahawa semua elemen pertuduhan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan telah dibuktikan dengan mencukupi.

“Mahkamah berpendapat bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh bagi kesemua 11 pertuduhan. Keterangan yang dikemukakan adalah mencukupi untuk satu sabitan direkodkan sekiranya ia tidak disangkal oleh pihak pembelaan,” katanya ketika membacakan keputusan.

Sehubungan itu, mahkamah memaklumkan tertuduh mempunyai pilihan sama ada memberi keterangan secara bersumpah atau tidak, selain berhak memanggil saksi bagi menyokong pembelaannya.

Sementara itu, peguam bela, Datuk Ram Singh yang mewakili Ebit Lew memberitahu mahkamah bahawa pihaknya bercadang memanggil antara tujuh hingga 10 saksi pembelaan dalam prosiding akan datang.

Mahkamah kemudian menetapkan beberapa tarikh bagi perbicaraan bela diri iaitu pada 13 hingga 16 Oktober, 11 hingga 13 serta 24 hingga 27 November, diikuti 1 hingga 4 Disember tahun ini.

Mengikut pertuduhan, Ebit Lew didakwa menghantar mesej dan gambar berunsur lucah melalui aplikasi WhatsApp kepada mangsa antara Mac hingga Jun 2021, yang bertujuan mengaibkan kehormatan wanita berkenaan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Analia Kamaruddin dan Muhammad Hidayat Wahab, manakala tertuduh diwakili barisan peguam bela termasuk Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Mohd Syarulnizam Salleh Keruak dan Prem Elmer Ganasan. – UTUSAN

Scroll to Top