Kes guru SJKT Ladang Kerling: Hormat privasi keluarga mendiang! Fadhlina Sidek rayu hentikan spekulasi

Kes guru SJKT Ladang Kerling: Hormat privasi keluarga mendiang! Fadhlina Sidek rayu hentikan spekulasi

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek merayu orang ramai supaya menghormati privasi keluarga mendiang guru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kerling yang meninggal dunia baru-baru ini, selain memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi dan menyantuni keluarga mendiang yang kini berdepan detik sukar susulan kehilangan insan tersayang.

Menurut Fadhlina, keluarga berkenaan memerlukan sokongan serta ruang untuk melalui tempoh berduka, bukannya berdepan spekulasi berhubung perkara yang masih dalam siasatan.

“Saya mendengar sendiri apa yang ingin mereka sampaikan dan segala kegusaran mereka.
“Saya faham ramai di luar sana mahukan jawapan tentang apa yang sebenarnya berlaku. Tetapi ketika siasatan masih berjalan, keluarga ini perlukan ruang, bukan spekulasi,” katanya, hari ini.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya memberi kepercayaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan secara teliti, selain memastikan sebarang tindakan selepas ini dibuat berdasarkan fakta.

“Dalam masa yang sama, KPM sedang menggerakkan segala ikhtiar yang termampu untuk memastikan keluarga mendiang dan warga sekolah yang terkesan mendapat sokongan yang terbaik,” katanya lagi.

Fadhlina berkata, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad turut hadir ke SJKT Ladang Kerling bagi bertemu pihak pentadbir serta guru-guru untuk memastikan sokongan kebajikan dan psikososial diberikan.

Artikel lain: Fadhlina rayu para guru saling bertanya khabar -“Luang sedikit masa untuk mendengar”

Katanya, kehadirannya hari ini adalah bagi memastikan keluarga mendiang didengari dan tidak melalui waktu sukar itu bersendirian.

“Kita mahu keluarga diberikan ruang untuk berduka, warga sekolah mendapat sokongan yang diperlukan dan apa juga tindakan selepas ini dibuat berdasarkan fakta hasil siasatan, bukan andaian di media sosial,”ujar beliau.

Dalam pada itu, Fadhlina turut mengingatkan seluruh warga pendidikan supaya lebih peka terhadap keadaan rakan-rakan di sekeliling, khususnya mereka yang mungkin sedang berdepan tekanan.

“Kita mungkin tidak mampu menyelesaikan semua masalah seseorang. Tetapi kita boleh pastikan mereka tidak perlu menghadapinya seorang diri.
“Kita jaga satu sama lain,”pesan Fadhlina.

Sumber: FB Fadhlina Sidek

Scroll to Top