rnoraina@hmetro.com.my
Klang: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menetapkan 21 April depan untuk sebutan semula kes membabitkan tiga beranak iaitu ibu bapa mentua dan adik ipar Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman atau dikenali Prince Syed yang didakwa atas pertuduhan mencederakan pempengaruh terbabit.
Tarikh itu ditetapkan Majistret Nor Azilah Mat selepas permohonan dibuat peguam yang mewakili mereka, K Nathiya.
“Mahkamah menetapkan tarikh baharu itu bagi meneliti dokumen. Ada beberapa dokumen lagi belum terima,” katanya ringkas ketika ditemui Harian Metro sebaik selesai prosiding hari ini.
Pada 14 November lalu, tiga beranak terbabit iaitu Aminah Haniffa, 55, Ishak Saif, 59, dan Muhammad Ikhwan Alif Ishak, 22, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan pempengaruh dan usahawan itu.
Mengikut kertas pertuduhan, Aminah, Ishak dan Muhammad Ikhwan Alif didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Prince Syed di Jalan Bertih Laut 5/KS3, Sungai Bertek, di sini jam 2.58 petang pada 2 November lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM1,500 kepada setiap tertuduh dengan seorang penjamin.
Sementara itu di mahkamah berasingan, Majistret Siti Zubaidah Mahat turut menetapkan tarikh sama bagi sebutan semula kes dihadapi Muhammad Syahmi Faiz, 31, yang juga abang ipar Prince Syed.
Tertuduh juga sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan khianat dengan memecahkan cermin kenderaan Proton X70 milik adiknya, Fatin Syazwani, 27, dan menyebabkan kerugian RM560.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh diminta melapor diri ke balai polis berhampiran, selain tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




