Kes kematian kadet PALAPES Syamsul Haris: UTM akan kerjasama penuh bantu siasatan pihak berkuasa

Kes kematian kadet PALAPES Syamsul Haris: UTM akan kerjasama penuh bantu siasatan pihak berkuasa

am@hmetro.com.my

Johor Bahru : Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memberikan kerjasama penuh susulan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengklasifikasikan semula kes kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

UTM dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, universiti itu juga tidak akan melindungi mana-mana pihak yang didapati terbabit.

“UTM sentiasa berpegang kepada prinsip ketelusan dan kedaulatan undang-undang (rule of law), serta menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan bagi memastikan keadilan ditegakkan.

“UTM juga merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga Allahyarham dan memohon semua pihak, termasuk warga universiti dan orang awam, tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan,” kata kenyataan itu di sini, hari ini.

Semalam, ACG mengarahkan kes kematian Allahyarham Syamsul Haris diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Keputusan itu dibuat AGC berpandukan laporan siasatan PDRM berhubung

kematian Allahyarham Syamsul Haris.

Menurut rekod, Syamsul Haris, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat di Ulu Tiram sebelum dikebumikan keesokannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor.

Pada 30 Ogos lalu, bedah siasat kedua terhadap Syamsul Haris dilaksanakan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan jenazah dikebumikan semula di tanah perkuburan berkenaan pada hari sama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top