Kes pemain B-12 meninggal dunia: Penganjur aktiviti kanak-kanak diingatkan patuhi SOP

Kes pemain B-12 meninggal dunia: Penganjur aktiviti kanak-kanak diingatkan patuhi SOP

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Semua penganjur aktiviti membabitkan kanak-kanak dan murid sekolah diingatkan supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan susulan kematian seorang murid ketika menyertai kejohanan bola sepak bawah 12 tahun (B-12), Sabtu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, insiden kematian murid ketika menyertai aktiviti luar itu menjadi peringatan bahawa aspek keselamatan tidak boleh dikompromi dalam mana-mana penganjuran program membabitkan kanak-kanak.

“Berdasarkan maklumat, kejadian berlaku ketika aktiviti luar yang bukan aktiviti rasmi sekolah dan tidak dianjurkan atau diuruskan oleh sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mahupun Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ).

“Namun, kita memandang serius isu berkenaan dan menegaskan bahawa semua penganjur sama ada agensi kerajaan, pertubuhan, kelab, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun pihak swasta hendaklah memastikan setiap aktiviti yang dirancang dilaksanakan dengan pematuhan sepenuhnya SOP,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dr Muhammad Naqib berkata, kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkaitan demi memperkukuh budaya keselamatan demi melindungi anak-anak di negeri ini.

Sabtu lalu, seorang murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rinting 2 itu dilaporkan meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai kejohanan bola sepak B-12 di sebuah pusat sukan di Ekoflora, di sini.

Mangsa yang dikenali sebagai Danish Hizqeel Mohd Hanif, 12, ialah pemain bagi pasukan Shining Academy, sebuah kelab bola sepak yang berpangkalan di Pasir Gudang.

Difahamkan, kanak-kanak berkenaan tiba-tiba rebah ketika sedang beraksi di padang dan disahkan meninggal dunia.

Polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top