Kes penyakit kusta di Kuala Pilah terkawal – EXCOJangkitan di dua perkampungan Orang Asli terkawal

Kes penyakit kusta di Kuala Pilah terkawal – EXCOJangkitan di dua perkampungan Orang Asli terkawal

am@hmetro.com.my

Seremban: Pihak berkuasa mengesahkan kes jangkitan kusta dikesan di perkampungan Orang Asli, Kampung Chergun dan Guntur, kini terkawal selepas tindakan saringan dan rawatan susulan dijalankan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO negeri, Datuk Tengku Zamrah Tengku Sulaiman berkata, Pejabat Kesihatan Daerah melakukan saringan ke atas penduduk serta rawatan susulan kepada pesakit berkenaan.

Katanya, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) turut melakukan pengawasan di setiap lokaliti Orang Asli berdasarkan penilaian risiko penularan jangkitan kusta di kawasan terbabit.

“Langkah itu memastikan kes kusta mendapat rawatan yang diperlukan dan seterusnya menjalankan pengawasan terhadap semua pesakit kusta yang tamat rawatan selama lima hingga 10 tahun.

“Semua kontak rapat kepada pesakit kusta yang dikenal pasti akan disaring dan diberikan satu dos ubat antibiotik profilaksis (pencegahan) dan semua kontak ini juga akan dipantau selama satu hingga lima tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Datuk Bibi Sharliza Mohd Khalid (BN-Juasseh) pada Pertanyaan Lisan Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini, hari ini.

Beliau turut menegaskan Kementerian Kesihatan (KKM) komited meningkatkan aktiviti saringan kusta melalui program Latihan, Kesan, Analisa, Rawat dan Rujuk (LAKAR) di lokaliti Orang Asli melalui kerjasama dengan pemimpin setempat serta agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang lain.

“Bagi 2024, program LAKAR dijalankan di sembilan lokaliti di seluruh Negeri Sembilan dengan lima lokaliti terbabit membabitkan perkampungan Orang Asli.

Beliau berkata, aktiviti saringan penyakit kusta juga dilakukan dalam skala lebih kecil membabitkan institusi, perkampungan dan tempat kerja.

Pada 18 Februari lalu, media melaporkan seorang maut, manakala lapan lagi Orang Asli dari Kampung Chergun dan Guntur, Kuala Pilah, mengalami jangkitan akibat wabak kusta yang menular di penempatan mereka.

Seorang remaja berusia 18 tahun dari Kampung Orang Asli (KOA) Chergun disahkan meninggal dunia pada 17 Februari lalu .

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top