Kes pertama Omicron dikesan sebelum pengumuman Afrika Selatan – KJ  – Utusan Digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

PETALING JAYA: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menjelaskan, kes pertama positif varian yang dibimbangi (VOC) Omicron itu datang ke negara ini sebelum Afrika Selatan melaporkan penemuan varian baharu itu.

Beliau berkata, apa yang penting buat masa ini adalah individu itu lengkap divaksin, tidak menunjukkan sebarang gejala dan mematuhi sepenuhnya arahan kuarantin di rumah.

“Kes ini datang ke Malaysia pada 19 November sebelum Afrika Selatan melaporkan kes pertama yang dikesan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Selepas kami mengetahui tentang Omicron, kami melakukan ujian genomik ke atas semua kes positif dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara 11 dan 28 November untuk melihat sama ada ia (Omicron) sudah berada di sini. Begitulah cara kami mengesan kes itu.

“Apa yang penting individu tersebut mematuhi sepenuhnya kuarantin di rumah (melalui MySejahtera), telah divaksin sepenuhnya dan tidak menunjukkan gejala.

“Kami telah melakukan pengesanan kenalan automatik dan manual dan so far this case is contained,” katanya dalam satu hantaran di laman Twitter hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, kes pertama positif varian itu melibatkan seorang pengembara bukan warganegara berusia 19 tahun.

Khairy berkata, individu itu merupakan seorang pelajar di sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak, tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November lalu.

Media sebelum ini melaporkan, saintis di Afrika Selatan pada 26 November lalu mengenal pasti varian baharu Covid-19 yang dikhuatiri lebih mudah menular berbanding Delta dan mungkin menjejaskan tahap keberkesanan vaksin sedia ada.

Susulan pengumuman itu, WHO memaklumkan ia kini sedang mengawasi perkembangan varian tersebut dengan teliti dan dijangka bersidang untuk menentukan sama ada B.1.1.529 adalah varian berkepentingan (VOI) atau VOC.