Krisis adat Negeri Sembilan boleh jejas pelantikan MB baharu

Krisis adat Negeri Sembilan boleh jejas pelantikan MB baharu

SHAH ALAM – Kemelut pentadbiran adat yang semakin meruncing di Negeri Sembilan berisiko menimbulkan masalah dalam proses pelantikan Menteri Besar selepas pilihan raya negeri (PRN) selesai sekiranya isu keabsahan Yang di-Pertuan Besar tidak diselesaikan mengikut perlembagaan negeri.

Pakar perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, persoalan mengenai pihak yang sah sebagai Yang di-Pertuan Besar perlu diputuskan terlebih dahulu kerana urusan pentadbiran negeri termasuk pelantikan Menteri Besar tertakluk kepada perkenan Raja Pemerintah Negeri Sembilan iaitu Yang di-Pertuan Besar dan Pembesar Memerintah.

Menurutnya, Pembesar Memerintah Negeri Sembilan ialah Undang Luak dan Tunku Besar Tampin.

Kata beliau, kegagalan menyelesaikan pertikaian tersebut berpotensi mencetuskan isu perundangan dan perjalanan pentadbiran negeri walaupun PRN berjaya dilaksanakan.

“Persoalan siapa Yang di-Pertuan Besar yang sah perlu diputuskan mengikut Perlembagaan Negeri Sembilan kerana jika tidak ditentukan, keabsahan pelantikan Menteri Besar juga boleh dicabar.

“Malah, dalam pentadbiran negeri sekarang pun, pemerintahan dan pelbagai urusan rasmi tertakluk kepada perkenan raja pemerintah. Sebab itu persoalan mengenai siapa yang mempunyai kedudukan sah menurut perlembagaan perlu diselesaikan terlebih dahulu,” katanya kepada Sinar Ahad.

Terdahulu, krisis pemerintahan dan adat di Negeri Sembilan memasuki episod bersejarah yang tidak pernah berlaku sebelum ini apabila negeri itu seolah-oleh memiliki dua Yang di-Pertuan Besar.

Ini selepas pemerintah bersama Negeri Sembilan (co-ruler) iaitu Undang Luak Jelebu, Undang Luak Johol, Undang Luak Rembau dan Tunku Besar Tampin serta turut disertai oleh Datuk Syahbandar Sungei Ujong mengadakan sidang khas Dewan Keadilan Undang (DKU) di Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin serta selepas itu memutuskan untuk menjalankan istiadat pemasyhuran Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.

Kekecohan berlaku apabila Tunku Nadzaruddin tidak dibenarkan keluar dari tempat persinggahannya di sebuah resort di Alor Gajah, Melaka untuk menghadiri istiadat tersebut sekali gus menyebabkan istiadat pemasyhuran dilangsungkan secara hibrid di resort berkenaan dan Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin.

Perkembangan itu bagaimanapun mencetuskan persoalan, siapa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah ketika ini sama ada Tuanku Muhriz Tuanku Munawir atau Tunku Nadzaruddin?

ARTIKEL BERKAITAN – Undang Yang Empat masyhurkan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12

Tunku Nadzaruddin dihalang meninggalkan hotel di Melaka

Mesyuarat DKU selesai, ada acara besar menanti -Peguam

Kecoh, pembesar adat persoal tidak dibenar masuk Balai Kediaman Tunku Besar Tampin untuk Sidang Khas DKU

Pada masa sama, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan menerima pemakluman rasmi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, berdasarkan Fasal 56(4) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS), pilihan raya umum negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fauzi menegaskan, sebarang pertikaian mengenai tafsiran perlembagaan tidak boleh diselesaikan melalui pandangan peribadi mana-mana pihak sebaliknya perlu dirujuk kepada mahkamah untuk mendapatkan pentafsiran betul terhadap peruntukan berkaitan.

“Sekarang kemelut ini perlu dilihat dari sudut kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan.

“Sekiranya ada khilaf dalam pentafsiran peruntukan undang-undang maka Perkara 34(3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan membenarkan raja pemerintah merujuk kepada Mahkamah Persekutuan. Tidak wajar mana-mana pihak menafikan kuasa prerogatif Undang Luak di bawah Perkara 10 dan 11 masing-masing dengan membuat tafsiran sendiri di luar kerangka peruntukan nyata UUTKNS,” ujarnya.

Kata beliau lagi, SPR juga sepatutnya perlu memastikan perkenan Raja Pemerintah Negeri Sembilan diperoleh mengikut Perkara 28 UUTKNS bagi maksud pembubaran DUN sebelum melaksanakan tugas perlembagaan mereka.

Mesti Baca

Scroll to Top