lizamridzuan@hmetro.com.my
PELBAGAI perkembangan baharu dalam industri motosikal dapat dilihat sepanjang penganjuran Malaysia Bike Show (MBS) 2026 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), baru-baru ini.
Acara itu menghimpunkan 72 pempamer mewakili 92 jenama tempatan dan antarabangsa serta lebih 300 motosikal daripada pelbagai kategori.
Penganjuran sulung yang berlangsung selama empat hari itu turut menampilkan motosikal konsep, model masa depan, teknologi mobiliti terkini dan pelbagai aktiviti interaktif untuk pengunjung.
Pengerusi Malaysia Bike Show 2026, Melvin Lee berkata, acara itu diwujudkan sebagai platform menghimpunkan pemain industri, pengeluar, pengedar dan peminat motosikal di bawah satu bumbung.
“Motosikal bukan lagi sekadar pengangkutan harian, malah menjadi sebahagian gaya hidup serta menyumbang kepada sektor ekonomi, pelancongan dan mobiliti negara.
“Acara ini menjadi platform memperkenalkan perkembangan teknologi, inovasi serta hala tuju industri motosikal yang semakin berkembang di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Penyertaan pelbagai jenama serta sambutan yang diterima menunjukkan industri ini terus mempunyai potensi untuk berkembang.
Antara tarikan utama sepanjang pameran ialah laluan tunggang uji khas sepanjang 4.2 kilometer yang membolehkan pengunjung merasai sendiri prestasi dan karakter tunggangan pelbagai model motosikal dalam keadaan yang lebih hampir kepada penggunaan sebenar.
Sebanyak 79 motosikal daripada pelbagai kategori disediakan untuk sesi tunggang uji, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung menilai aspek pengendalian, keselesaan, kuasa enjin, sistem brek dan teknologi terkini yang ditawarkan pengeluar.
Selain itu, pengunjung berpeluang melihat 12 motosikal konsep serta 92 model masa depan yang memberi gambaran mengenai evolusi reka bentuk dan pembangunan teknologi motosikal pada masa akan datang.
Penyertaan 38 jenama antarabangsa turut memperlihatkan minat berterusan pemain industri global terhadap pasaran motosikal di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
Dalam usaha memupuk budaya penunggangan lebih selamat, penganjur turut menganjurkan Safety Riding Challenge yang memberi pendedahan kepada teknik kawalan motosikal pada kelajuan rendah serta situasi tunggangan harian.
Sesi gymkhana dan demonstrasi tunggangan antara aktiviti yang mendapat perhatian pengunjung apabila peserta berpeluang menguji kemahiran mengendalikan motosikal menerusi pelbagai cabaran teknikal.
Malaysia Bike Show 2026 turut dirasmikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Tiong King Sing yang meluangkan masa meninjau pameran motosikal serta teknologi mobiliti dua roda yang dipertontonkan sepanjang acara berkenaan.
Selain pameran motosikal, acara itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti keluarga, persembahan hiburan dan jualan makanan serta minuman yang menjadikan suasana lebih meriah sepanjang penganjurannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




