lizamridzuan@hmetro.com.my
ROLLS-ROYCE terus menambahbaik model elektrik mewahnya apabila memperkenalkan Spectre Series II, versi terkini kepada super-coupE elektrik yang menjadi antara model paling penting dalam sejarah moden jenama itu.
Model baharu itu hadir dengan pelbagai penambahbaikan melibatkan prestasi, jarak perjalanan, masa pengecasan serta pilihan personalisasi Bespoke lebih luas, sekali gus mengukuhkan kedudukan dalam segmen kenderaan ultra mewah.
Sejak diperkenal pada 2022, Spectre mendapat sambutan memberangsangkan dalam kalangan pelanggan Rolls-Royce di seluruh dunia kerana menawarkan pengalaman pemanduan senyap, lancar dan berkuasa, selari dengan identiti jenama berkenaan.
Bagi versi Series II, jurutera Rolls-Royce melakukan penalaan semula pada sistem rangkaian kuasa elektrik bagi meningkatkan tahap respons dan kecekapan tanpa menjejaskan ciri kemewahan yang menjadi tanda pengenalan model itu.
Hasilnya, Spectre Series II kini menawarkan peningkatan jarak perjalanan sehingga 18 peratus kepada 628 kilometer mengikut piawaian WLTP, manakala tempoh pengecasan dikurangkan 14 peratus berbanding model terdahulu.
Kuasa maksimum Spectre Series II kini mencecah 442kW dengan tork setinggi 1,015Nm, memberi pecutan lebih bertenaga namun mengekalkan karakter pemanduan halus dan tenang.
Bagi varian Black Badge Spectre Series II pula, Rolls-Royce memperkenalkan peningkatan lebih ekstrem menerusi mod Infinity yang membolehkan kuasa mencapai 500kW, menjadikannya model Rolls-Royce paling berkuasa pernah dihasilkan.
Selain itu, mod Spirited mampu menghasilkan sehingga 1,100Nm tork demi prestasi lebih agresif apabila diperlukan oleh pemandu.
Dari sudut rekaan, Rolls-Royce mengekalkan bayangan fastback yang menjadi identiti Spectre namun memperkenalkan warna baharu dikenali sebagai Ethereal Blue bagi menyerlahkan lagi bentuk badan dan permukaan kenderaan.
Turut diperkenalkan ialah rekaan rim aloi bersaiz 23 inci menampilkan kemasan bersegi tajam menyerupai potongan berlian. Setiap rim memerlukan sehingga enam jam proses kemasan tangan bagi mencapai tahap ketelitian yang ditetapkan.
Ruang kabin turut menerima pelbagai inovasi baharu termasuk fabrik premium Duality Twill berasaskan buluh yang diinspirasikan daripada kawasan taman berhampiran kediaman musim sejuk pengasas Rolls-Royce, Sir Henry Royce di Perancis.
Fabrik berkenaan menampilkan corak sulaman khas yang boleh menggunakan sehingga 2.6 juta jahitan dan hampir 16 kilometer benang, dengan tempoh penghasilan mencecah 25 jam untuk sebuah kabin lengkap.
Selain itu, pelanggan boleh memilih kemasan kulit Placed Perforation yang menggunakan lebih 78,000 lubang mikro untuk menghasilkan corak artistik diinspirasikan daripada bayang-bayang awan yang diterangi cahaya bulan.
Bahagian papan pemuka pula dipertingkatkan dengan panel bercahaya baharu yang mengandungi lebih 8,000 titik pencahayaan individu, selain jam analog rekaan terkini yang diinspirasikan daripada instrumen penerbangan dan ditempatkan dalam kabinet paparan khas bersama figura Spirit of Ecstasy.
Bagi pelanggan Black Badge, Rolls-Royce turut menawarkan kemasan luaran Iced Black yang memberi sentuhan satin matte pada hampir keseluruhan komponen krom, sekali gus menghasilkan penampilan lebih garang dan eksklusif.
Menerusi peningkatan prestasi, teknologi dan tahap personalisasi yang lebih luas, Spectre Series II meneruskan misi Rolls-Royce untuk menetapkan penanda aras baharu dalam dunia mobiliti elektrik ultra mewah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




