Kes polis jatuh bangunan: Tiada unsur jenayah, jangan buat spekulasi – KP Selangor

Kes polis jatuh bangunan: Tiada unsur jenayah, jangan buat spekulasi – KP Selangor

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Tiada sebarang unsur jenayah dikesan setakat ini berhubung insiden menimpa seorang pegawai kanan polis yang maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan di Seksyen 14 di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya percaya ia bersifat kemalangan bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan.

“Berkaitan dengan insiden semalam, setakat ini kita percaya ia adalah bersifat kemalangan sebab tidak ada unsur-unsur yang bersifat jenayah. Mangsa dipercayai jatuh dari tingkat lapan bangunan berkenaan.

“Siasatan masih dijalankan di bawah mati mengejut. Itu sahaja ulasan saya berkaitan insiden tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bedah siasat terhadap pegawai berusia 42 tahun itu selesai dan jenazah sudah dikebumikan di kampung halamannya di Kuantan, Pahang, semalam.

Dalam pada itu, Shazeli turut menasihatkan orang awam tidak membuat spekulasi yang boleh mengaibkan Allahyarham dan keluarganya.

“Sekiranya spekulasi itu tidak benar dan ada berbaur fitnah, Insya-Allah laporan boleh dibuat dan tindakan siasatan akan dijalankan,” katanya.

Media semalam melaporkan seorang pegawai kanan polis maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan di Seksyen 14 di sini, pagi semalam.

Shazeli dilaporkan berkata, pegawai lelaki berkenaan bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

“Pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 3.07 pagi dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top