sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penahanan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) badan berkanun persekutuan yang disyaki terbabit dalam kes rasuah projek pembinaan gelanggang skuasy mengundang kebimbangan terhadap integriti pembangunan sukan negara.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya memandang serius kes berkenaan yang didakwa membabitkan salah guna kuasa dalam meluluskan bayaran projek dan berpendapat perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku.
“Kes ini jelas menunjukkan bagaimana kuasa membuat keputusan di peringkat tertinggi telah disalahgunakan sebagai alat kepentingan peribadi.
“Jawatan yang sepatutnya menjadi amanah kini bertukar menjadi ruang eksploitasi apabila kelulusan pembayaran dijadikan tiket untuk mendapatkan habuan lumayan.
“Kes ini memberi kesan langsung kepada kredibiliti industri sukan negara yang sepatutnya menjadi simbol disiplin, integriti dan pembangunan bakat.
“Apabila projek fasiliti sukan dicemari rasuah, risiko peningkatan kos, penurunan kualiti pembinaan serta kehilangan keyakinan pihak berkepentingan menjadi realiti yang tidak boleh dinafikan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Justeru, bagi mengelakkan perkara sama berulang, beliau berpendapat beberapa langkah perlu diambil seperti memperketatkan sistem kelulusan pembayaran melalui mekanisme pelbagai peringkat serta melaksanakan pendigitalan penuh bagi mengurangkan budi bicara individu.
Tambahnya, audit forensik berkala terhadap projek bernilai tinggi perlu dilaksanakan bagi memastikan ketelusan.
“Tindakan tegas perlu dikenakan bukan sahaja kepada penerima rasuah, tetapi juga pemberi rasuah.
“Dalam masa sama, perlindungan kepada pemberi maklumat perlu diperkukuh,” katanya.
Beliau turut menegaskan, rasuah dalam sektor sukan bukan sekadar isu tadbir urus, sebaliknya ancaman besar terhadap masa depan pembangunan negara.
Menurutnya, jika asas pembangunan sukan dibina atas rasuah, maka integriti generasi akan datang turut terjejas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




