Kes saman ibu model Belanda: Keputusan rayuan kerajaan tangguh

Kes saman ibu model Belanda: Keputusan rayuan kerajaan tangguh

Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan keputusannya dalam rayuan kerajaan dan tiga lagi terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang memberikan ganti rugi sebanyak RM1.1 juta kepada ibu model warga Belanda, Ivana Esther Robert Smit.

Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Datuk Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendengar hujah Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin, yang mewakili responden, dan peguam Datuk S.N. Nair bagi pihak Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen.

“Kami tidak dapat memberikan keputusan hari ini… rakan-rakan dan saya ingin membincangkannya dengan lebih lanjut… kami telah menetapkan 21 April ini untuk pengurusan kes,” kata Mohamed Zaini, yang bersidang bersama-sama Datuk Ong Chee Kwan dan K.Muniandy.

Verstappen telah memulakan prosiding terhadap Ketua Polis Negara (KPN), Pegawai Penyiasat Dang Wangi ASP Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia atas dakwaan kecuaian serta perlanggaran tanggungjawab dalam pengendalian siasatan terhadap kematian anak perempuannya.

Pada 29 Julai 2025, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan tuntutan Verstappen dan memerintahkan kesemua defendan membayar RM500,000 sebagai ganti rugi am, RM300,000 sebagai ganti rugi teruk, RM300,000 sebagai ganti rugi teladan serta RM100,000 sebagai kos.

Mahkamah Tinggi turut mengarahkan IGP untuk menyingkirkan Faizal daripada pasukan petugas semasa dan memerintahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan semula siasatan terhadap kematian Ivana Smit, seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini pada 2019 sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner.

PDRM juga diarah memberikan taklimat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) setiap tiga bulan mengenai kemajuan siasatan.

AGC pula diarahkan untuk menilai sama ada bukti yang mencukupi telah dikemukakan dan menentukan sebarang tindakan susulan yang perlu diambil.

Menerusi saman yang difailkan pada 20 Nov 2020, Verstappen mendakwa anak gadisnya ditemukan maut di tingkat enam Residensi CapSquare pada 7 Dis 2017 selepas terjatuh dari tingkat 20 sebuah unit kondominium milik pasangan Amerika, iaitu Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.

Wanita itu mendakwa pihak polis telah cuai apabila gagal menutup lokasi kejadian atau menjalankan siasatan sewajarnya terhadap Johnson dan Almazkyzy serta gagal menahan, mengekstradisi dan memastikan kehadiran kedua-dua individu semasa prosiding inkues sebagai saksi utama.

Pada 18 Mac 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Ivana disebabkan misadventure (kematian akibat nahas).

Tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Koroner, wanita itu mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Nov 2019.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (yang kini hakim Mahkamah Persekutuan) mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner serta menggantikannya dengan “kematian yang disebabkan oleh seorang individu atau beberapa individu yang tidak dikenali.”

Terdahulu, Liew berhujah bahawa Mahkamah Tinggi secara jelas telah terkhilaf apabila mengenakan kewajipan berjaga-jaga ke atas polis berhubung dakwaan kecuaian dalam siasatan membabitkan si mati.

Beliau berkata prinsip asas undang-undang tort biasa ialah tanggungjawab polis untuk mengekalkan keamanan tertakluk kepada kepentingan umum dan tidak menimbulkan tanggungjawab undang-undang peribadi terhadap individu tertentu daripada orang awam.

“Dapatan Mahkamah Tinggi iaitu terdapat ‘kegagalan asas untuk menyiasat’ dan ‘penyingkiran sepenuhnya tanggungjawab penyiasatan’ adalah salah dan tidak disokong oleh keterangan defendan kedua (Faizal) semasa perbicaraan.

“Prosedur Operasi Standard (SOP) KPN tidak dikemukakan sebagai keterangan oleh plaintif semasa perbicaraan dan defendan kedua juga tidak dirujuk kepada SOP ini atau mana-mana peruntukan dalam SOP semasa pemeriksaan balas,” katanya.

Sementara itu, Nair berhujah bahawa Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf apabila mempertanggungjawabkan Kerajaan Malaysia secara wakil atas perlakuan jahat pegawainya semasa bertugas.

Beliau berkata keputusan Mahkamah Tinggi bahawa perayu mempunyai kewajipan untuk berhati-hati dalam menjalankan siasatan adalah betul.

“Kesemua elemen jelas dibuktikan dalam kes semasa… responden sebagai ibu si mati, adalah individu paling terkesan secara langsung oleh siasatan kes itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top