Kes saman sivil Petros terhadap Petronas didengar semula Ogos

Kes saman sivil Petros terhadap Petronas didengar semula Ogos

mdroji@bh.com.my

Kuching: Perbicaraan bagi kes saman sivil antara Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di Mahkamah Tinggi Kuching, akan disambung semula pada 25 dan 26 Ogos depan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Faridz Gohim Abdullah ketika menangguhkan prosiding hari ini menetapkan tarikh itu bagi mendengar hujah balas daripada wakil Kerajaan Persekutuan, Petronas serta jawapan balas pihak Petros.

Dalam prosiding hari ini, peguam yang mewakili Petros, Tan Sri Cecil Abraham berhujah bahawa tindakan Petronas menuntut bayaran daripada satu jaminan bank terhadap Petros disifatkan sebagai tidak sah dan bertentangan dengan Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO 2016) yang berkuat kuasa di Sarawak sejak 1 Julai 2018.

Menurutnya, hanya pengagregat gas berlesen dibenarkan mengurus dan mengedarkan gas di Sarawak selepas penguatkuasaan DGO itu.

Cecil berkata, bermula 1 Februari 2024, Kerajaan Sarawak secara rasmi melantik Petros sebagai agregator tunggal gas di negeri itu.

“Justeru, tindakan Petronas yang terus menjalankan pembekalan gas tanpa lesen dianggap melanggar undang-undang negeri serta mengingkari arahan kerajaan negeri untuk menyalurkan bekalan gas melalui Petros.

“Tindakan Petronas menuntut jaminan bank tanpa sebarang notis pada 14 Oktober 2024 adalah tidak berperikemanusiaan serta bercanggah dengan undang-undang,” katanya.

Menurutnya, kontrak Perjanjian Penjualan Gas Sarawak (SGSA) yang menjadi rujukan Petronas tidak lagi sah selepas berlakunya pelanggaran terhadap Ordinan DGO 2016.

Sementara itu, peguam mewakili Kerajaan Sarawak, Datuk Seri Fong Joo Chung turut berhujah bahawa DGO 2016 sah dari segi perlembagaan berdasarkan kuasa undang-undang yang diperuntukkan kepada Sarawak menerusi Borneo States Order 1963.

Beliau berkata, ordinan itu memberi kuasa kepada negeri untuk menggubal undang-undang berkaitan pengedaran gas.

“Tiada sebarang klausa dalam SGSA yang boleh mengaitkan dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974), justeru Petronas tidak boleh menggunakan akta itu bagi menafikan pemakaian DGO 2016.

“SGSA hanyalah sebuah perjanjian komersil dan tidak boleh dilaksanakan dengan cara yang melanggar undang-undang bertulis yang sedang berkuat kuasa di negara ini,” katanya.

Petronas diwakili dua peguam kanan dari Majlis Peguam Malaya, Datuk Cyrus Das dan Khoo Guan Huat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top