Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh, memaklumkan bahawa barisan peguam Pemuda UMNO bersedia menawarkan khidmat guaman secara percuma kepada remaja yang ditampar oleh seorang lelaki dalam kejadian di Pasar Seni.
Sedia hulur bantuan guaman percuma

Menerusi hantaran di Facebook, pihaknya menghormati keputusan keluarga mangsa yang memilih untuk memaafkan individu terbabit selepas lelaki berkenaan dilaporkan telah memohon maaf atas tindakannya.

“Abang kepada adik yang ditampar itu telah membuat kenyataan bahawa individu tersebut sudah meminta maaf. Saya menghormati keputusan ahli keluarga yang ingin memaafkan mamat tersebut,” kata Akmal, hari ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pihak Pemuda UMNO tetap bersedia membantu sekiranya keluarga mangsa ingin mendapatkan nasihat perundangan berhubung insiden berkenaan.
‘Tetapi jika mereka ingin mendapatkan nasihat peguam untuk tindakan yang sangat bangsat yang dilakukan ke atas adiknya, barisan peguam Pemuda UMNO sedia untuk membantu secara percuma,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan tindakan menampar seorang kanak-kanak sebagai perbuatan yang tidak wajar dan perlu diberi pengajaran sewajarnya.
Beliau turut membuka ruang kepada keluarga mangsa untuk menghubunginya secara langsung sekiranya memerlukan bantuan guaman.
“Tindakan menampar kanak-kanak adalah tindakan yang sangat bacul dan perlu diberikan pengajaran yang setimpal kerana ia akan memberikan pengajaran kepada individu tersebut dan juga kepada orang lain bahawa kanak-kanak perlu dilindungi, bukan disakiti walau dalam apa jua keadaan,” tambahnya lagi.

Artikel lain: Isu anti-Cina: Exco AMK Pusat dakwa Dr Akmal tak ikhlas minta maaf
Terdahulu, tular di media sosial satu perkongsian mengenai kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 1.35 petang di sebuah premis Rotiboy di Pasar Seni, membabitkan seorang kanak-kanak.
Menurut hantaran pengguna dikenali sebagai rx_hid, individu dalam gambar didakwa telah menampar adiknya menggunakan belakang tangan tanpa sebarang provokasi.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikongsi turut memaparkan detik kejadian tersebut.
Perkongsian itu turut memohon bantuan orang ramai untuk mengenal pasti lelaki berkenaan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Kes berkenaan mengundang reaksi pelbagai pihak yang menggesa agar tindakan tegas diambil, khususnya melibatkan keselamatan kanak-kanak di tempat awam.
Sumber: Facebook Akmal Saleh




