am@hmetro.com.my
Alor Setar: Polis giat mengesan suspek yang dipercayai melarikan diri selepas menikam seorang wanita di dalam kereta Mazda 3 di hadapan restoran di Titi Gajah, Kepala Batas, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, suspek lelaki berusia 32 tahun itu dipercayai menaiki kereta bersama wanita berusia 35 tahun itu.
Beliau berkata, kejadian berlaku sekitar jam 9.19 malam dan kedua-dua mereka mengenali antara satu lain kerana bekerja sebagai ejen hartanah.
“Kenderaan itu adalah milik mangsa dan suspek berada di sebelah tempat duduk pemandu kereta ketika kejadian berlaku.
“Mangsa dipercayai ditikam di bahagian leher sebelah kanan dan setakat ini kita tak tahu lagi berapa tikaman kerana mangsa sedang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
“Kecederaan itu mungkin esok (hari ini) kita akan kemas kini selepas selesai rawatan doktor, ” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, pagi ini.
Syed Basri berkata, suspek dipercayai melarikan diri sejurus selepas kejadian dan pihaknya dalam usaha untuk mengesan suspek.
Beliau berkata, setakat ini motif atau punca kejadian masih belum diketahui dan siasatan sedang dijalankan.
“Kita tidak tahu sejauh mana hubungan mereka tapi kita percaya mereka saling mengenali kerana mereka menaiki kenderaan yang sama.
“Setakat ini senjata yang digunakan dalam kejadian itu belum ditemukan dan kita percaya suspek dan mangsa adalah penduduk tempatan di sini,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Basri juga menyangkal dakwaan orang ramai yang mengatakan mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital seperti yang dilaporkan di media sosial.
“Belum… Mangsa sedang dirawat di HSB dan keadaannya stabil setakat ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata,” katanya.
Syed Basri turut meminta kerjasama masyarakat supaya membantu polis menyalurkan maklumat berkaitan suspek.
Harian Metro malam tadi melaporkan, seorang wanita cedera tikam di bahagian kanan leher oleh lelaki yang dikenalinya di hadapan sebuah restoran, sekitar jam 9.15 malam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




