Kesalahan fahami agama bawa kepada kehancuran

Kesalahan fahami agama bawa kepada kehancuran

Sejarah Islam bukan sahaja mencatat kegemilangan ilmu dan tamadun, bahkan turut merekodkan kemunculan kelompok yang menyimpang dalam memahami agama. Antara golongan paling awal yang menunjukkan bagaimana kesalahan akidah boleh membawa kepada keganasan ialah Khawarij. Mereka muncul dengan imej kuat beribadah, namun hakikatnya membawa fahaman yang keras sehingga sanggup menghalalkan darah sesama Muslim. Fenomena ini menjadi peringatan bahawa kesungguhan beragama tanpa panduan akidah yang sahih boleh membawa kepada kerosakan yang besar.

Benih pemikiran Khawarij sebenarnya sudah dikesan sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Dalam satu hadis sahih, seorang lelaki telah berani menegur baginda dengan berkata agar berlaku adil. Rasulullah SAW menolak dakwaan tersebut dan menjelaskan bahawa akan muncul satu golongan yang rajin beribadah, namun terkeluar daripada agama seperti anak panah yang meluncur laju. Mereka membaca al Quran, tetapi tidak memahami maksudnya dengan betul. Hadis ini menggambarkan bahawa masalah utama bukan pada amalan zahir, tetapi pada kefahaman yang menyimpang.

Kewujudan Khawarij menjadi semakin jelas selepas kewafatan Rasulullah SAW, khususnya ketika pemerintahan Saidina Ali. Mereka pada asalnya adalah sebahagian daripada penyokong beliau, namun keluar daripada barisan selepas tidak bersetuju dengan proses tahkim dalam konflik politik.

Bagi mereka, menerima rundingan dianggap sebagai menolak hukum Allah. Slogan yang sering diungkapkan ialah bahawa tiada hukum melainkan milik Allah, namun hakikatnya mereka memahami prinsip tersebut secara sempit dan terpisah daripada kerangka syarak yang sebenar.

Kemuncak kepada bahaya pemikiran ini dapat dilihat dalam peristiwa pembunuhan Saidina Ali. Seorang lelaki bernama Abdul Rahman bin Muljam yang terpengaruh dengan fahaman Khawarij telah merancang pembunuhan tersebut. Menariknya, beliau bukan seorang yang jahil, bahkan dikenali sebagai pembaca al Quran dan pernah mengajarkannya. Namun apabila akidah rosak dan pemikiran menjadi taksub, ilmu tidak lagi menjadi benteng, bahkan boleh menjadi alat untuk membenarkan kezaliman.

Peristiwa tragis itu berlaku pada pagi 19 Ramadan tahun 40 Hijrah ketika Saidina Ali menuju ke masjid untuk menunaikan solat Subuh. Serangan yang dilakukan dengan pedang beracun akhirnya meragut nyawa seorang khalifah yang terkenal dengan keadilan dan keilmuannya. Lebih menyentuh hati, Saidina Ali dalam saat akhir hidupnya masih berpesan agar pembunuhnya tidak diseksa dan hanya dihukum menurut keadilan Islam. Tragedi ini membuktikan bahawa ekstremisme tidak mengenal siapa, bahkan mampu menyasarkan tokoh besar umat sendiri.

Antara ciri utama Khawarij ialah mereka sering merasakan diri lebih baik daripada orang lain. Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan bahawa mereka dikenali sebagai golongan yang kuat membaca al Quran dan beribadah, namun mentafsirkannya tanpa panduan yang betul. Mereka juga cenderung berlebihan dalam zuhud dan ibadah sehingga melahirkan sikap taksub terhadap pandangan sendiri. Rasulullah SAW turut menggambarkan bahawa ibadah mereka kelihatan hebat sehingga orang lain merasakan ibadah sendiri kecil jika dibandingkan dengan mereka.

Namun di sebalik kesungguhan itu, terdapat kecacatan besar dalam akidah dan pemikiran. Mereka mudah menghukum orang lain sebagai sesat, bahkan mengkafirkan sesiapa yang tidak sependapat. Slogan seperti kembali kepada al-Quran dan hukum Allah sering digunakan, tetapi tanpa kefahaman yang sahih. Inilah yang menjadikan mereka berbahaya kerana kesalahan itu diselaputi dengan hujah agama yang kelihatan benar pada zahirnya.

Kisah yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Masud juga memberikan gambaran jelas tentang bagaimana kesesatan boleh bermula daripada perkara yang kelihatan baik. Sekumpulan manusia berkumpul di masjid berzikir secara berjemaah dengan kaedah tertentu menggunakan batu untuk mengira. Walaupun tujuan mereka baik, namun beliau menegur dengan tegas kerana amalan tersebut tidak bertepatan dengan ajaran Rasulullah SAW. Beliau mengingatkan bahawa ramai yang berniat baik tetapi tersasar kerana tidak mengikuti panduan yang betul. Akhirnya, sebahagian daripada mereka terbukti menyertai Khawarij dalam peperangan Nahrawan.

Kesimpulannya, sejarah Khawarij menunjukkan bahawa keganasan bukan bermula dengan senjata, tetapi bermula dengan kesalahan dalam memahami agama. Apabila akidah diselewengkan, ibadah yang banyak tidak lagi menjadi pelindung, bahkan boleh membawa kepada kehancuran. Oleh itu, umat Islam perlu kembali kepada kefahaman yang sahih berpandukan al-Quran dan sunnah menurut manhaj para sahabat. Ilmu yang benar, sikap sederhana dan bimbingan ulama adalah benteng utama agar tragedi seperti ini tidak berulang dalam bentuk yang baharu.

Penulis Pengurus Pusat Kajian Darul Fitri

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top