Perkembangan teknologi dan ledakan media sosial telah mengubah landskap komunikasi masyarakat hari ini. Jika dahulu pandangan dan komentar lazimnya disalurkan melalui saluran rasmi atau oleh individu yang ada kepakaran tertentu, kini sesiapa sahaja bebas bersuara hanya di hujung jari. Dalam keterbukaan ini, lahirlah satu fenomena kian membimbangkan, iaitu budaya ‘palatau’ atau ‘paling tahu’.
Istilah ‘palatau’ mungkin tidak direkodkan secara rasmi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, namun penggunaannya semakin meluas dalam kalangan komuniti digital. Ia merujuk kepada sikap individu yang gemar memberi komen, pandangan atau ulasan tentang sesuatu isu walaupun tidak mempunyai ilmu, maklumat atau kepakaran yang mencukupi. Fenomena ini semakin ketara apabila masyarakat begitu ringan jari meninggalkan komen, ringan mulut mengeluarkan pandangan dan ringan tangan berkongsi maklumat tanpa usul periksa. Hari ini, hampir semua isu menjadi medan komentar masyarakat, daripada isu rumah tangga selebriti, tragedi kemalangan dan politik hinggalah kepada persoalan agama serta kesihatan. Lebih membimbangkan apabila pandangan diberikan dengan penuh keyakinan meskipun di luar bidang kepakaran sendiri.
Antara faktor utama yang menyumbang budaya ini ialah kewujudan media sosial yang menyediakan platform terbuka tanpa tapisan ketat. Aplikasi seperti TikTok, Facebook dan Threads misalnya membolehkan sesiapa sahaja menjadi ‘pakar segera’. Kebebasan ini sering disalah guna apabila masyarakat terdorong menjadi individu terawal memberi komen daripada memastikan kesahihan maklumat. Selain itu, keinginan meraih perhatian, pengiktirafan dan populariti turut menjadi faktor pendorong. Dalam dunia digital hari ini, perhatian sering dianggap sebagai nilai sosial yang tinggi.
Dari perspektif Islam, budaya ‘palatau’ bukan sekadar berpunca daripada kebebasan media sosial atau keghairahan untuk bersuara, bahkan berakar daripada penyakit hati dan kelemahan adab dalam berilmu. Antaranya ialah sifat ujub, iaitu rasa bangga diri dan merasakan diri sentiasa betul; takabbur, iaitu sikap sombong hingga menolak kebenaran serta riyak, apabila seseorang berbicara semata-mata untuk meraih perhatian, pujian atau pengiktirafan masyarakat. Selain itu, sikap jahil tentang adab ikhtilaf turut menyumbang kepada fenomena ini apabila seseorang gagal memahami cara berbeza pandangan secara berhemah, lalu memilih untuk mengecam, menghina dan menyerang pandangan orang lain.
Budaya ini juga sering lahir daripada kecenderungan mengikut hawa nafsu dan emosi apabila seseorang memberi komentar berdasarkan kemarahan, sentimen atau persepsi tanpa berpandukan fakta serta ilmu yang sahih. Tidak kurang juga unsur ghurur, iaitu tertipu dengan sedikit pengetahuan sehingga merasakan diri layak berhujah dalam semua perkara hanya dengan membaca satu dua perkongsian di media sosial. Apabila penyakit hati ini dibiarkan berakar, masyarakat akan lebih cenderung bercakap tanpa ilmu, menghukum tanpa memahami, dan akhirnya merosakkan budaya ilmu serta adab dalam berinteraksi.
Hakikatnya, budaya ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh mencetuskan pelbagai kemudaratan seperti penyebaran maklumat palsu, kekeliruan dalam masyarakat dan fitnah terhadap individu tertentu secara berleluasa. Dalam isu agama misalnya, pandangan tanpa ilmu boleh membawa kepada kekeliruan hukum dan kesesatan. Dalam isu kesihatan pula, nasihat yang salah boleh membahayakan nyawa. Lebih parah, apabila suara lantang tanpa ilmu lebih didengari berbanding pandangan pakar yang berautoriti, masyarakat akan terbiasa menerima pendapat tanpa penilaian kritis. Akhirnya, budaya ilmu semakin terhakis dan pembinaan intelektual semakin merosot.
Allah SWT mengingatkan manusia agar tidak berkata atau bertindak tanpa ilmu sebagaimana firman-Nya dalam al-Quran, Surah al-Isra’ ayat 36 yang bermaksud: “Dan janganlah engkau mengikuti apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya”. Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman dalam Al-Quran, Surah al-Nahl ayat 43 yang bermaksud: “Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.”
Rasulullah SAW juga bersabda: “Antara kebaikan Islam seseorang ialah dia meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat baginya.” (Riwayat al-Tirmizi)
Bagi mengelakkan diri daripada terjebak dalam budaya ‘palatau’, masyarakat perlu mendidik diri dengan adab digital yang sihat. Sebelum memberi komen, tanyalah diri terlebih dahulu sama ada pandangan tersebut berasaskan ilmu atau sekadar emosi. Seterusnya, lazimi diri menyemak fakta daripada sumber sahih sebelum berkongsi maklumat. Jika sesuatu perkara berada di luar bidang pengetahuan, memilih untuk diam lebih baik daripada menambah kekeliruan. Orang yang bijaksana tahu bila perlu bercakap dan bila perlu diam. Justeru, mereka tidak akan mengeluarkan pandangan tanpa asas, apatah lagi dalam perkara di luar bidang kepakaran.
Penulis Pensyarah Kanan di Jabatan Usuluddin dan Dakwah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)
© New Straits Times Press (M) Bhd




