Bekas penyampai radio dan pengacara, Kieran atau nama sebebar, Maskiran Jakiran, 50, mendedahkan dia kuat kerana anak biarpun topik mengenai kematian sering menghantui dirinya.
Ingatan mengenai mati sering terlintas di fikiran bekas penyampai radio Hot FM itu semasa menjalani rawatan kemoterapi yang amat mencabar setelah disahkan menghidap kanser prostat tahun lalu.
Menurut Kieran, meskipun mengalami kesukaran sepanjang proses rawatan, kekuatan dan sokongan daripada ahli keluarga serta sahabat handai telah memberi semangat untuk terus berjuang melawan penyakit tersebut.
“Selepas menjalani rawatan kemoterapi, saya tak boleh tidur nyenyak. Selain itu, saya kerap rasa nak muntah. Perkara itu membuatkan saya bertanya kepada diri sendiri, berapa lama lagi boleh hidup?
“Mampu ke saya terus hidup atau tidak lagi? Cuma saya cakap pada diri kalau sudah tiba masanya saya harap tidak menyusahkan sesiapa. Namun, selepas melihat wajah anak yang sedang tidur pada waktu malam, saya beritahu pada diri, tak boleh fikir soal kematian lagi.
Mahu terus berjuang, Kieran bersyukur kesihatan dirinya semakin menunjukkan perkembangan positif biarpun ada beberapa kesan sampingan selepas menjalani sesi rawatan kemoterapi.
“Bagi saya, ajal dan maut ini sudah ditentukan Tuhan. Jadi, selagi boleh, saya perlu berjuang. Alhamdulillah kawan-kawan sekeliling pun selalu beri sokongan dan nasihat yang positif seperti ramai penyakit kanser ini berjaya pulih.
“Alhamdulillah, kesihatan saya semakin baik selepas menjalani pembedahan pada Februari lalu, diikuti rawatan kemoterapi. Sel kanser pun sudah banyak berkurangan, cuma dalam perut, saya masih belum pasti keadaannya, jadi hati ini tetap berdebar-debar.
“Keputusan penuh akan saya terima dalam masa dua minggu lagi. Saya dijadualkan bertemu doktor di Hospital Kuala Lumpur pada pertengahan Mei ini.
“Ramai yang kata saya nampak sihat, tetapi sebenarnya sakit masih ada. Waktu malam, ada saja rasa berdenyut di sana sini, tapi saya anggap itu perkara biasa. Bila nak bangun pun rasa berat, kaki dah tak sekuat dulu. Saya juga tak boleh bangun secara mengejut sebab mudah rasa pening.
“Tangan pula masih bengkak selepas kemoterapi, jadi tak boleh pegang barang lama-lama. Kalau memandu, saya tak boleh pergi jauh, tapi sekitar Kuala Lumpur masih mampu saya gagahkan diri,” katanya.
Kieran ditemui di majlis rumah terbuka Terbaek Raya anjuran portal mStar di The Agam, Sungai Penchala, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Kieran turut menyatakan rasa terharu dengan bantuan yang diterima menerusi program mStar Baek musim ketiga, yang banyak meringankan beban kehidupannya selepas setahun tidak bekerja.
“Saya rasa ini inisiatif yang sangat baik, saya terima kad perubatan yang boleh digunakan sebanyak 12 kali rawatan.
“Apa yang mereka beri ini sangat membantu kepada orang macam kami yang tiba-tiba ditimpa musibah,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Presiden merangkap Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan, mereka menghargai peluang untuk meneruskan kerjasama bersama mStar Baek buat kali kedua.
“Kami percaya bahawa inisiatif membantu masyarakat, terutamanya mereka yang sedang berdepan cabaran hidup, seiring dengan komitmen KPJ dalam memperkukuh tahap kesejahteraan rakyat Malaysia.
“Melalui program ini, kami berharap dapat menyuntik harapan baharu dalam kehidupan para penerima sumbangan serta memperteguhkan peranan kami sebagai penyedia penjagaan kesihatan pilihan komuniti,” katanya.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Star (SMG), Chan Seng Fatt; Ketua Pegawai Operasi SMG, Lydia Wang; Ketua Pegawai Kandungan SMG, Datin Paduka Esther Ng serta Ahli Lembaga Pengarah SMG, Tan Sri Johan Jaaffar dan Ketua Pengarang Berita mStar, Niezam Abdullah.
Kieran antara enam penerima mStar Baek pada musim ketiga dengan kerjasama KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare).
Turut menerima sumbangan adalah Fendy Caliph Busker yang tabah membesarkan anaknya yang juga orang kelainan upaya (OKU) penglihatan sepertinya dan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azman Adnan yang kini menderita akibat tulang kaki membengkok.
Selain itu, atlet para Nurul Shakina Abdullah Teh yang kini menjadi penyanyi jalanan untuk membesarkan dua anaknya serta Mohammad Saad Habizal yang menghidap palsi serebrum (cerebral palsy) dan masalah tulang belakang bengkok.
Turut menerima bantuan ialah pelakon, Ebby Yus yang diuji pelbagai penyakit kronik termasuk masalah jantung dan kegagalan buah pinggang.
Kredit foto: mStar, Harian Metro




