am@hmetro.com.my
Kota Tinggi : Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Johor akan membantu nelayan Orang Asli Kampung Sayong Pinang, di sini, yang terjejas dengan pencemaran Sungai Johor untuk menuntut pampasan daripada pihak yang bertanggungjawab menyebabkan insiden itu berlaku.
Pengarahnya, Faisal Long berkata, kesan pencemaran Sungai Johor ini dijangka mengambil masa yang lama sehingga tiga tahun.
Katanya, ia sekali gus menjejaskan pendapatan utama majoriti nelayan di kampung terbabit.
“Insya Allah, kita cuba usahakan bantuan dari segi projek penternakan ikan dalam sangkar kerana kesan pencemaran sungai ini lama, bukan sebulan atau dua bulan. Ia menjejaskan ekosistem sungai dalam tempoh yang panjang.
“Dalam mesyuarat tadi, Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) memaklumkan ini pencemaran paling teruk berlaku membabitkan jumlah akaun pengguna air yang banyak terjejas sehingga ke Iskandar Puteri.
“Sekiranya nelayan di sini mahu menuntut pampasan kepada pihak yang menyebabkan pencemaran ini, kita akan bantu dan menyokong mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Penyerahan Bantuan Bakul Makanan Parlimen Tenggara oleh Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib di Kampung Orang Asli Sayong Pinang di sini, hari ini.
Sementara itu, Manndzri menzahirkan kekecewaan terhadap ekosistem hidupan sungai yang rosak akibat pencemaran tersebut.
Katanya, insiden pencemaran itu tidak wajar berlaku dan pegawai daerah berkaitan akan bermesyuarat dengan lebih spesifik untuk penyelesaian itu pencemaran ini.
“Apabila hidupan sungai mati, mereka perlukan masa untuk pulih semula ekosistem ini. Bukan setahun, mungkin dua atau tiga tahun masa diperlukan. Jadi dalam tempoh itu yang kita bimbangkan.
“Di sungai ini terdapat ikan baung, jelawat, etok dan udang galah. Hidupan itu tidak akan terganti dalam tempoh masa setahun.
“Saya dimaklumkan pihak pemaju pun sudah bawa 10 mesin untuk perbaiki ban yang pecah. Saya perhatikan ini kejadian kedua, sebelum ini pernah berlaku tetapi semasa banjir besar dan air deras menghanyutkan pasir.
“Kebetulan tempoh seminggu ini panas terik, apabila berlaku ban pecah pasir berlonggok sekali gus menyebabkan pencemaran sungai.
“Memang satu kesedihan kerana tahun hadapan kita dalam Tahun Melawat Johor tetapi pencemaran masih berlaku. Kesannya bukan saja di sini, tetapi seluruh Johor kerana ini adalah sumber air mentah yang membekalkan 50 hingga 60 peratus bekalan air,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




