puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Dulu saya selalu ingatkan mak akan kekal macam ini (sihat) selamanya, masih mampu berjalan, ketawa dan bergurau dengan kami. Rupa-rupanya Allah hanya meminjamkan saat-saat itu.”
Demikian kongsi penyanyi Nubhan Ahamad, 40, menerusi sebuah hantaran video di akaun TikTok miliknya, yang meluahkan rasa sedih melihat status kesihatan ibunya yang mesra disapa Mak Jenny kini semakin merosot.
Menurut Nubhan, fasa perubahan kesihatan ibunya adalah detik paling sukar untuk dihadapi dan amat berat apabila diimbas kembali.
“Kesihatan mak perlahan-lahan merosot, daripada seorang wanita yang sentiasa aktif, yang sentiasa menjadi penguat keluarga, sekarang hospital mula menjadi tempat yang kerap kami pergi.
“Rawatan demi rawatan dan sejak hari itu, saya mula sedar tiada siapa yang akan kekal kuat selama-lamanya,” katanya dalam hantaran video yang dimuat naiknya, semalam.
Bercerita lanjut, bekas bintang Akademi Fantasia musim keenam (AF6) itu mengakui sangat merindui memori dan suasana ceria bersama ibunya sewaktu masih sihat.
“Rindu, Ya Allah. Rindunya saat-saat gelak ketawa ini. Rindu setiap detik bersama mak ketika dia sihat.
“Inilah keadaan Mak Jenny sekarang, dia hanya mampu terbaring. Mohon doakan Mak Jenny sembuh ya,” katanya.
Dalam pada itu, Nubhan turut menitipkan pesanan mendalam buat orang ramai untuk menghargai kehadiran seorang ibu sementara mereka masih ada di dunia.
“Orang selalu cakap, selagi mak masih ada, kita masih ada tempat untuk pulang. Hari ini, saya masih pulang, tapi saya dah tak boleh pulang kepada mak yang dulu.
“Mak yang selalu menyambut saya dengan senyuman, mak yang sibuk bertanya, sudah makan? Sekarang, saya cuma mampu memandang wajah mak dan berdoa dalam diam.
“Ya Allah, jangan ambil senyuman mak sebelum sempat saya membahagiakannya sekali lagi,” kongsinya.
Dalam hantaran yang sama, Nubhan juga dilihat mengupah beberapa orang pekerja untuk memasang bidai di ruangan katil ibunya agar suasana lebih selesa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




