Kesihatan rakyat Israel merosot teruk akibat perang Iran

Kesihatan rakyat Israel merosot teruk akibat perang Iran
Kesihatan rakyat Israel merosot teruk akibat perang Iran

Rakyat Israel kini kebanyakan tinggal di kubu bawah tanah atau bunker sejak konflik tercetus dengan Iran. – Agensi

BAITULMAQDIS – Satu kajian terbaharu mendapati perang berterusan dengan Iran memberi kesan ketara terhadap tingkah laku kesihatan dalam kalangan rakyat Israel, termasuk penurunan aktiviti fizikal dan gangguan pola tidur.

Kajian yang dijalankan penyelidik dari Hebrew University of Jerusalem itu, seperti dilaporkan The Jerusalem Post, menunjukkan hampir dua pertiga responden mengalami kemerosotan aktiviti fizikal serta pengurangan tempoh tidur.

Penyelidikan itu turut mendapati peningkatan pengambilan makanan ultra-proses, dengan lebih separuh peserta melaporkan pengambilan makanan manis dan pastri yang lebih tinggi.

Pada masa sama, pengambilan makanan segar seperti buah-buahan dan sayur-sayuran dilaporkan menurun.

Penggunaan alkohol juga meningkat, dengan kesannya terhadap corak pemakanan didapati lebih ketara dalam kalangan wanita berbanding lelaki.

Kajian itu turut menemukan hubungan jelas antara peningkatan pengambilan makanan ultra-proses dengan penurunan aktiviti fizikal, khususnya dalam kalangan individu yang mengalami kekurangan tidur.

Dalam kalangan perokok, terdapat peningkatan jumlah rokok harian, walaupun saiz sampel bagi kumpulan tersebut adalah terhad.

Selain itu, kekerapan siren serangan udara dikenal pasti sebagai faktor utama yang menyumbang kepada gangguan tidur dan penurunan tahap aktiviti fizikal, sekali gus mencerminkan tekanan berterusan yang dialami penduduk sepanjang konflik berlangsung.- Agensi

Scroll to Top