Kesilapan Simon jadi bahan jenaka penyokong Sepanyol

COPENHAGEN: Penjaga gol Sepanyol, Unai Simon yang melakukan kesilapan bodoh dengan menjaringkan gol sendiri ketika pasukannya menang 5-3 ke atas Croatia dalam saingan Euro 2020, menjadi bahan ejekan penyokong di media sosial.

Detik itu pasti akan terus diingati peminat Sepanyol dalam kempen pusingan 16 terbaik meskipun pasukan kesayangan mereka mara ke suku akhir.

Peminat menyifatkan pemain yang memakai jersi nombor satu pasukan Sepanyol kini menjadi badi melepaskan gol mudah.

Pemain Athletic Bilbao itu, gagal mengawal dengan kemas hantaran ke belakang yang dilakukan pemain tengah, Pedri dari tengah padang yang menyaksikan bola terus menerjah ke jaring gol Sepanyol.

Ia adalah gol sendiri pertama yang dilakukan penjaga gol dalam sejarah kejohanan Euro.

Sepanyol sememangnya mem­punyai sejarah disebabkan kesilapan penjaga gol yang turut menghantui penjaga gol Manchester United, David de Gea dan Kepa Arrizabalaga yang beraksi dengan Chelsea.

Situasi itu menyaksikan peminat terus meletakkan Simon dalam kumpulan penjaga gol malang.

Rata-rata peminat mengatakan Simon mendapat inspirasi daripada De Gea.

“De Gea memberi inspirasi kepada generasi baharu penjaga gol Sepanyol,” kata seorang peminat menerusi media sosial.

“Sekiranya ada sesiapa yang boleh memberikan nasihat kepada Simon ketika ini, orang itu adalah De Gea berdasarkan pengalamannya,” kata seorang peminat.

“De Gea, Kepa dan sekarang Unai Simon. Kedudukan penjaga gol Sepanyol terus menjadi bahan kritikan sejak Casillas bersara,” tulis peminat La Roja. – AGENSI