Kesinambungan Bea Soba Bea, Eda Ezrin & Den Manjo Kembali Dengan Adek Saye Abe Sore

Kesinambungan Bea Soba Bea, Eda Ezrin & Den Manjo Kembali Dengan Adek Saye Abe Sore

Penyanyi Eda Ezrin dan Den Manjo kembali bergandingan menerusi single terbaharu berjudul Adek Saye Abe Sore, sekali gus mengubat rindu peminat selepas kejayaan lagu terdahulu mereka.

Lagu ciptaan Eddie Hamid itu merupakan kesinambungan daripada karya popular Cinta Setandan Pisang atau lebih dikenali sebagai Bae Soba Bae yang dilancarkan pada Disember 2023 dan berjaya meraih lebih 33 juta tontonan di YouTube Kijang Music.

Untuk karya terbaharu ini, Eddie turut bekerjasama dengan komposer Mekiya, manakala lirik ditulis oleh Fadil Turbo, Mama Ana, Jaju dan Te Ha. Lagu tersebut dilancarkan pada 26 Mac 2026 dengan pendekatan muzik yang lebih segar.

Menurut Eddie, lagu Adek Saye Abe Sore masih mengekalkan elemen dikir barat, namun diberikan sentuhan lebih moden berbanding karya sebelum ini.

“Kali ini muziknya lebih moden, tetapi masih ada elemen dikir barat. Saya yakin lagu ini juga mampu mendapat sambutan seperti lagu sebelum ini.

“Sebenarnya lagu ini sudah disiapkan lebih setahun lalu, namun terpaksa ditangguhkan susulan apa yang berlaku kepada Eda. Walaupun ada penyanyi lain berminat, saya tetap simpan lagu ini untuk dia.

“Genre dan kekuatan vokalnya sangat sesuai dengan lagu ini, apatah lagi ia kesinambungan kepada karya terdahulu,” katanya.

ARTIKEL: Syukur Tak Diboikot, Eda Ezrin Bakal Buat Persembahan Di Kelantan – “Saya Terima Banyak Tawaran…”

Sementara itu, Eda Ezrin atau Wan Norsahidah Azlin Wan Ismail meluahkan rasa syukur apabila diberi peluang untuk kembali berduet bersama Den Manjo.

“Saya sangat bersyukur kerana masih diberi kepercayaan untuk menyanyikan lagu ciptaan Abang Eddie.

“Untuk lagu ini, prosesnya lancar kerana saya dan Den sudah pernah bekerjasama sebelum ini dan masing-masing faham peranan.

“Rakaman pun tidak mengambil masa lama sebab kami sudah biasa dengan cara kerja masing-masing. Saya gembira dapat kembali bekerjasama,” katanya.

Dalam masa sama, Eda mengakui tetap berdebar menantikan reaksi pendengar terhadap lagu baharu tersebut.

“Memang saya rasa berdebar sebab pasti akan ada perbandingan dengan lagu sebelum ini.

“Apa pun, saya berharap lagu ini diterima baik dan mampu mendapat tempat di hati pendengar serta berada di carta teratas,” katanya.

Selepas melalui fasa sukar dalam hidup sebelum ini, Eda turut berkongsi bahawa perjalanan kerjayanya kini kembali stabil dan berharap lagu baharu ini membuka lebih banyak peluang untuknya terus berkarya.

Den Manjo atau Mohamad Hafizzudin Md Yusof pula menyifatkan peluang merakam lagu ini sebagai satu pengalaman yang cukup bermakna.

“Selepas sambutan hebat lagu duet kami sebelum ini, saya memang teruja untuk kembali bekerjasama dengan Eda.

“Walaupun terpaksa menunggu agak lama, saya tetap bersyukur kerana akhirnya dapat kembali bergabung.

“Saya harap lagu ini juga akan mendapat sambutan hangat seperti lagu kami sebelum ini,” katanya.

Scroll to Top