Ketangkasan Damien tamatkan badi 27 tahun Sabah

Ketangkasan Damien tamatkan badi  27 tahun Sabah

firdaushashim@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Penjaga gol Sabah FC, Damien Lim muncul wira apabila berjaya menyekat sepakan penalti terakhir Selangor FC (SFC) untuk membawa pasukan itu ke pentas final Piala FA sekali gus menamatkan badi 27 tahun.

Pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, Sabah menang menerusi penentuan penalti 5-4 selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 dalam 120 minit di sini untuk menamatkan kedudukan 5-5 secara agregat.

Dalam aksi itu, anak buah Christophe Gamel terpaksa bermain tanpa sokongan ‘pemain ke-12’ selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjatuhkan hukuman ekoran insiden pergelutan penyokong di suku akhir sebelum ini.

Walaupun tanpa sorakan penyokong, SFC dilihat tampil bersemangat untuk merebut tiket ke final buat kali ke-10 dalam saingan itu.

Faisal Halim yang sedang berdepan kemelut rumah tangga selepas disahkan bercerai dengan isterinya Jumaat lalu, seolah langsung tidak menunjukkan tanda kemerosotan prestasi sepanjang aksi itu.

Dia sebaliknya menjadi duri dalam daging buat pelawat apabila meledak gol pertama di minit 32 selepas melakukan larian solo di sebelah tepi untuk menewaskan Damien.

Bersambung babak kedua, skuad The Rhinos tampil lebih kemas dan berjaya menyamakan kedudukan di minit 47 menerusi jaringan Dane Ingham.

Tuan rumah hanya memerlukan empat minit untuk kembali di depan hasil ledakan Chrigor Moraes yang melepaskan rembatan dari luar kotak penalti.

Kedudukan kembali terikat di minit 62 menerusi Ajdin Mujagic sebelum Faisal meledak gol keduanya dalam aksi itu di minit 73.

Aksi terus rancak di minit 88 apabila Sabah dihadiahkan sepakan penalti dan Mujagic tidak berdepan banyak masalah untuk menyempurnakan tugasnya.

Dihujung permainan, skuad Red Giants terpaksa beraksi 10 pemain selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) menyaksikan Diarra Mamadou menyiku pemain lawan untuk dilayangkan kad merah.

Perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan dan SFC berjaya meledak gol keempat namun dibatalkan pengadil yang mendakwa ofsaid sedangkan pergerakan jaringan itu dilihat sempurna.

Malah, usaha pemain Selangor yang mahu pengadil menyemak menggunakan VAR tidak dilayan sekali gus mengecewakan kem tuan rumah.

Kedudukan 3-3 kekal dan pemenang terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti.

Tuah nyata memihak pelawat apabila Damien menghalang dua sepakan penalti tuan rumah untuk membantu pasukannya ke final, sekali gus menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) nanti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top