Kuala Lumpur: Drama berjudul The Girl From The Other Side Of The Galaxy dan Murderous Girl masing-masing memenangi hadiah utama Pertandingan Penulisan Skrip Drama Mikro dan Drama Mikro
Terbaik ToYm anjuran Thousands of Years Media (ToYm), baru-baru ini.
Pertandingan anjuran ToYm dan dipersembahkan oleh Sunstrong Entertainment, ToYm Wardrobe, WMD dan Flowers.com.my itu menyaksikan The Girl From The Other Side Of The Galaxy ciptaan Yap Khai Jing itu memenangi kategori Drama Mikro Terbaik ToYm dan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000.
Drama Murderous Girl pula menang kategori Penulisan Skrip Drama Mikro Terbaik ToYm dan membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000.
Drama berjudul Step Back ciptaan Khairi Hizami Zalani memenangi tempat kedua kategori Drama Mikro Terbaik ToYm dan membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000, manakala drama The Invisible Killer muncul naib juara kategori Penulisan Skrip Drama Mikro Terbaik ToYm sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.
Majlis yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Seri Kembangan, Selangor itu dihadiri lebih 300 tetamu dalam kalangan orang kenamaan, pencipta kandungan dan wakil industri filem.
Pengasas ToYm dan Sunstrong Entertainment, Jment Lim berkata, malam anugerah itu menjadi pentas penting buat bakat-bakat baharu untuk menyerlah dan diketengahkan.
“Sejak penyertaan dibuka, kedua-dua pertandingan menerima lebih 300 penyertaan daripada penulis skrip dan penggiat kreatif dari Malaysia, China, Hong Kong dan Taiwan, sekali gus membuktikan pengiktirafan dan kredibilitinya yang kian berkembang di peringkat serantau,” katanya.
Jment berkata, ToYm sudah melaburkan sumber dan komitmen yang besar dalam pelbagai inisiatif kreatif asli seperti Pertandingan Idol Bintang Baharu ToYm, Pertandingan Penulisan Skrip Drama Mikro ToYm, dan Pertandingan Drama Mikro Terbaik ToYm.
“Program-program ini membuka peluang penting buat bakat tempatan menonjolkan kebolehan mereka, di samping menaikkan mutu penerbitan kandungan tempatan,” katanya.
Jment berkata, ToYm dan Sunstrong Entertainment akan terus mengangkat bakat tempatan dalam penerbitan filem, drama dan muzik mereka.
“Filem terbitan kami, Snow In Midsummer meraih anugerah antarabangsa dengan memenangi kategori ‘Uncaged Award for Best Feature Film’ di Festival Filem Asia New York ke-23 dan ‘Firebird
Award for Best Film’ dalam ‘Young Cinema Competition’ (Bahasa Cina) di Festival Filem Antarabangsa Hong Kong ke-48,” katanya.
Menurutnya, filem itu turut terpilih untuk tayangan di festival berprestij seperti Festival Filem Antarabangsa Venice.
Dalam pada itu, drama mikro In Character mencipta pencapaian baharu dalam landskap kandungan digital
Malaysia apabila diiktiraf sebagai drama mikro bahasa Cina pertama negara dan mencatat lebih 14 juta
tontonan.
Dalam majlis sama, Jment turut mengumumkan perancangan untuk menerbitkan sekurang-kurangnya lima drama mikro baharu, merangkumi pelbagai genre termasuk drama mikro berbahasa Melayu dan tema perayaan yang memperlihatkan kepelbagaian budaya Malaysia serta memenuhi cita rasa penonton tempatan.
Malam anugerah turut dimeriahkan dengan kemunculan penyanyi wanita pertama di bawah ToYm iaitu Fatimah Noryyah yang mempersembahkan beberapa lagu dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.
Sementara itu, lima drama iaitu The Delivery Vault ciptaan Emagina Studio, Devour (Chew Huat Yeow), Miss Ctrl+Z (Felix Tai), Satu Malam Di PJ (Haffez Amin, Codils Media dan Rights Eye Army Legacy) dan She Is Coming (Goh Cheng How) masing-masing memenangi hadiah sagu hati berupa wang tunai RM10,000 untuk kategori Drama Mikro Terbaik ToYm.
Lima lagi drama iaitu GOKILL, Kepada Pelajar Baru, Office Battle Royale, A Very Tiring Day dan Healing Hearts masing-masing memenangi hadiah sagu hati berupa wang tunai RM5,000 untuk kategori Penulisan Skrip Drama Mikro Terbaik ToYm.
© New Straits Times Press (M) Bhd




