‘Ketika tiada jawatan, balaslah dengan kesetiaan bukan ugutan’ – Pemuda UMNO Johor

‘Ketika tiada jawatan, balaslah dengan kesetiaan bukan ugutan’ – Pemuda UMNO Johor

JOHOR BAHRU – Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros mengingatkan semua pemimpin dan anggota parti supaya terus menunjukkan kesetiaan serta kepatuhan kepada parti tanpa mengira kedudukan atau jawatan yang disandang.

Beliau berkata, kesetiaan kepada parti tidak seharusnya berubah mengikut keadaan semasa, terutama apabila seseorang tidak lagi memegang jawatan dalam parti atau kerajaan.

Menurutnya, ketika parti memberikan amanah dan mengangkat seseorang ke sesuatu kedudukan, kesetiaan sering dizahirkan, namun nilai itu perlu terus dipertahankan walaupun tidak lagi berada di puncak kepimpinan.

“Ketika parti junjung kita dengan jawatan, kita patuh dan setia pada parti.

“Tapi bila parti dah tak lagi junjung kita, kita menidakkan kesetiaan dan kepatuhan pada parti.

“Ketika kita tidak lagi ada apa-apa jawatan, balaslah kesetiaan dan kepatuhan yang parti pernah bagi kepada kita dengan sebaiknya.

“Ketika kita tidak lagi mempunyai apa-apa jawatan, balaslah kepercayaan yang pernah diberikan parti dengan sebaiknya, bukan dengan ugutan atau hasutan,” katanya dalam satu muat naik di laman Facebooknya pada Rabu.

Noor Azleen berkata, setiap anggota perlu memahami bahawa parti adalah milik bersama dan bukan milik mana-mana individu tertentu.

Beliau turut menyeru pemimpin parti supaya menjadi contoh terbaik kepada generasi muda mengenai makna sebenar kesetiaan, disiplin dan kepatuhan dalam perjuangan politik.

“Tunjukkan kepada generasi muda dalam parti contoh apa makna sebenar erti setia dan patuh kepada parti,” ujarnya.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan mengumumkan senarai calon BN yang akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN pada PRN kali ini di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Johor di sini jam 2.30 petang Rabu.

Sebelum itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi memberi bayangan akan membuat satu pengumuman penting pada 27 Jun ini susulan perkembangan terkini dalam UMNO Johor yang disifatkannya membimbangkan.

 

Scroll to Top