Ketua ajaran PMYT ditahan, polis jumpa resit bank dana lebih RM80k dari pengikut

Sejak beberapa minggu ini, gempar di media sosial berkenaan satu ajaran yang disifatkan menyeleweing iaitu Ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) diketuai oleh seorang wanita dikenali sebagai Sittah Annur, 39.

Sittah Annur atau Masitah Ab Jalar telah membuat ‘kecoh’ susulan kenyataannya yang meramalkan akan ada Perang Dunia Ketiga yang bermula di Sabah.

Oleh sebab itu, kedudukan dan pergerakan wanita itu telah berada dalam radar pihak polis dan awal pagi Sabtu, dia telah ditahan di rumahnya di Shah Alam.

Menerusi Harian Metro, Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Superintendan Basri Sagoni berkata, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields berjaya menemui satu resit transaksi ke akaun banknya melibatkan jumlah duit yang agak besar iaitu RMRM84,721.42.

Selain itu, pihak polis juga telah merampas lima telefon bimbit pelbagai jenama, sekeping kad bank dan sepasang telekung warna putih dipercayai digunakan oleh suspek semasa membuat Live Facebook.

“Siasatan juga mendapati wang diterima suspek menerusi rampasan resit pemindahan wang itu adalah hasil derma daripada ahli yang menyertai kumpulan ajarannya itu.”
“Peniaga wanita yang sudah berumah tangga itu sedang disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan (kesalahan yang menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemuliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, atas alasan agama) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Difahamkan, wanita tersebut akan direman selama empat hari iaitu sehingga 7 September 2021.

Disamping itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan mengesahkan pihak mereka sedang menjalankan siasatan terhadap  Facebook  Sittah Annur  ini yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan ajaran  PMYT.

“Antara kandungan rakaman video yang tular adalah pengakuan wanita terbabit mendakwa dirinya boleh berhubung terus dengan Allah, malaikat dan Nabi Muhammad S.A.W.”
“Beliau turut mendakwa mimpi perjalanan terakhir diturunkan kepada dirinya sebagai panduan untuk umat yang lain dan sesiapa yang menyakiti atau menghalang dirinya dari menyampaikan ajaran boleh dicabut nyawa oleh Allah,” katanya.

Sebelum ini, video  wanita asal Kelantan yang menetap di Shah Alam itu membuat ramalan berkenaan Perang Dunia Ketiga yang kononnya akan berlaku di Sabah dan dia menjadi pemimpin pasukan bagi mencari Imam Mahdi untuk melawan para musuh telah tular di media sosial.

Tak hanya itu, Sittah Annur turut mendakwa dirinya beryaqazah dengan malaikat dan bertemu secara sedar dengan Nabi Muhammad S.A.W bagi merangka pelan keluar bersama pengikutnya jika peperangan berlaku.

Malah wanita tersebut juga dikesan menjaja nama beberapa orang pemimpin negara, pemimpin dunia dan tokoh agama sebagai khalifah kepada ajarannya itu.

Sumber: Harian Metro (Skuad Khas Harian Metro)