MAG Culinary Solutions tingkat keupayaan penyediaan makanan, mula beroperasi 2029

bisnes@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia Aviation Group (MAG) bakal membangunkan fasiliti katering baharu berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi unit perkhidmatan makanannya, MAG Culinary Solutions (MAGCS), bagi meningkatkan keupayaan penyediaan makanan dalam penerbangan syarikat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A Bakar berkata, perkembangan itu mencerminkan usaha kumpulan untuk mengembangkan rangkaian berdasarkan permintaan, menghubungkan semula pasaran sedia ada serta meneroka pasaran baharu.

“Tatkala kami memperkukuh peranan Kuala Lumpur sebagai hab penerbangan serantau, adalah sama penting untuk kami terus meningkatkan pengalaman yang ditawarkan sejak dari saat pelanggan melangkah masuk ke dalam pesawat.

“Pembangunan berterusan MAGCS akan menyokong usaha ini dengan membolehkan kami menyajikan pengalaman sajian dalam penerbangan yang lebih konsisten dan berkualiti tinggi seiring perkembangan rangkaian kami.

“Secara keseluruhannya, pelaburan ini memperkukuh asas MAG, meningkatkan daya saing kami, dan meletakkan kumpulan pada kedudukan terbaik untuk meraih peluang pertumbuhan masa hadapan dengan skala serta ketahanan yang lebih tinggi,” katanya dalam sidang media MAG di sini, hari ini.

Fasiliti berkenaan disasarkan siap pada suku keempat 2028 sebelum mula beroperasi pada suku kedua 2029.

Menurutnya, fasiliti yang dibangunkan oleh MAGCS itu mempunyai kapasiti pengeluaran kira-kira 50,000 hidangan sehari, hampir dua kali ganda kapasiti pengendalian sedia ada.

Kerja tanah bagi pembangunan fasiliti berkenaan sudah dimulakan pada Julai 2026 selepas MAGCS memperoleh Lesen Pengendalian Darat dan Sijil Kelulusan Teknikal daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

MAGCS turut memperoleh Lesen Pengilangan Sementara daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi menyokong pembangunan operasi perkhidmatan makanan penerbangan itu.

Sejak operasi katering Malaysia Airlines diambil alih secara dalaman pada 2023 dan MAGCS ditubuhkan pada September 2025, tahap kepuasan pelanggan terhadap sajian dalam penerbangan meningkat daripada 72 peratus kepada 78 peratus, manakala prestasi ketepatan masa katering kini konsisten pada 99.9 peratus.

Selain meningkatkan kecekapan dan kualiti penyediaan sajian dalam penerbangan, fasiliti baharu itu dijangka mewujudkan peluang pekerjaan serta menjana sumber pendapatan baharu untuk MAG melalui penyediaan perkhidmatan kepada syarikat penerbangan pihak ketiga.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top