Musk lancar teksi Cybercab tanpa stereng, pedal brek

Musk lancar teksi Cybercab tanpa stereng, pedal brek

NEW YORK – Bilionair kontroversi, Elon Musk melancarkan puluhan Cybercab pandu sendiri tanpa stereng dan pedal brek ke jalan raya di Austin, Texas di Amerika Syarikat (AS) pada Khamis.

Langkah itu dibuat untuk melihat sama ada rakyat Amerika bersedia menaiki kereta yang tidak boleh dikawal sendiri ketika kecemasan.

Tesla merancang untuk memperkenalkan perkhidmatan Cybercab di beberapa bandar lain. Saham Tesla turut meningkat lebih lima peratus susulan keyakinan bahawa teksi futuristik itu bakal mendapat sambutan.

Syarikat kenderaan elektrik (EV) milik Musk itu turut mempromosikan Cybercab dengan slogan ‘tiada stereng, tiada pedal’ di platform X.

Musk lancar teksi Cybercab tanpa stereng, pedal brek

Cybercab pandu sendiri itu direka tanpa stereng dan pedal brek. – Foto Agensi

Namun, Tesla masih jauh ketinggalan berbanding Waymo dalam jumlah teksi pandu sendiri dan perjalanan yang telah dilakukan.

Tesla juga perlu membuktikan sistem pandu sendiri mereka yang hanya menggunakan kamera mampu bergerak dengan selamat dan berupaya mengelak pejalan kaki.

Waymo dan Zoox pula menggunakan kamera bersama radar serta teknologi laser yang dikenali sebagai lidar.

Walaupun teknologinya dijamin berfungsi dengan baik, Tesla masih perlu meyakinkan rakyat Amerika untuk menggunakan kereta tanpa pemandu.

Menurut tinjauan Pew Research Center pada Februari lalu, tujuh daripada 10 orang dewasa di AS tidak selesa menaiki kereta tanpa pemandu.

Difahamkan, Austin telah mempunyai perkhidmatan ‘robotaxi’ Tesla pandu sendiri sejak Jun 2025, tetapi kereta tersebut masih dilengkapi stereng dan pedal brek.

Perkhidmatan itu telah diperluaskan ke lima bandar lain di Texas dan Florida. Pada peringkat awal, penumpang dibawa bersama pemandu keselamatan yang boleh mengambil alih kawalan sekiranya berlaku sebarang masalah. – Agensi

Scroll to Top