Ketua Pegawai Operasi Media Prima OMNiA ditauliah Mejar Kehormat

Ketua Pegawai Operasi Media Prima OMNiA ditauliah Mejar Kehormat

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 53 pegawai tentera menerima pemakaian pangkat termasuk Ketua Pegawai Operasi Media Prima OMNiA Direct Solutions, Datuk Mohd Efendi Omar bagi pegawai sukarela Askar Wataniah, pada Rabu.

Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai dan Penganugerahan Sayap Juruterbang Tentera Darat yang berlangsung di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, di sini disempurnakan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Tentera Darat Malaysia (TDM) memaklumkan majlis itu sebagai pengiktirafan kepada pegawai yang dinaikkan pangkat serta pegawai yang berjaya menamatkan Kursus Asas Penerbangan Helikopter.

Menurutnya, ia membabitkan pelbagai peringkat kenaikan termasuk dua pegawai dinaikkan daripada Brigedier Jeneral ke Mejar Jeneral, tiga pegawai daripada Kolonel ke Brigedier Jeneral, dua pegawai daripada Leftenan Kolonel ke Kolonel dan tujuh pegawai daripada Mejar ke Leftenan Kolonel.

“Majlis turut menyaksikan pemakaian pangkat pegawai sukarela Askar Wataniah iaitu seorang Kolonel ke Brigedier Jeneral, seorang Mejar dinaikkan ke Leftenan kolonel.

“Empat pegawai sukarela diberikan Anugerah Tauliah Mejar Kehormat termasuk Datuk Mohd Efendi Omar dan dilantik sebagai ahli turut hadir Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

“Seorang dipakaikan pangkat Mejar, tujuh pegawai sukarela dipakaikan pangkat Kapten, tiga pegawai sukarela dipakaikan pangkat Leftenan dan 19 dipakaikan pangkat Leftenan Muda Pegawai Sukarela Askar Wataniah,” menurut kenyataan.

TDM berkata, Muhammad Hafizuddeain turut menyempurnakan pentauliahan pangkat Leftenan Muda kepada seorang pegawai kadet tempatan dan dua pegawai kadet lulusan akademi ketenteraan luar negara.

Majlis itu turut menyaksikan penganugerahan sayap juruterbang kepada lima pegawai yang berjaya menamatkan latihan di Kolej Tentera Udara, Alor Setar, Kedah pada 21 Jun lalu, membabitkan Kapten Zamir Harith Zulkefli, Kapten Aiman Farid Jaafar, Kapten Muhamad Syahir Azmi, Kapten Ilham Zulkarnain Fauzey, dan Leftenan Harith Zakwan Rusman.

Dalam pada itu, Panglima Tentera Darat menegaskan bahawa pemakaian pangkat adalah simbol pengiktirafan terhadap dedikasi dan komitmen anggota, manakala penganugerahan sayap memperkukuh keupayaan udara Tentera Darat dalam melaksanakan operasi darat-udara serta meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top