KUALA TERENGGANU – Peranan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah untuk menerangkan dasar dan menyatukan parti, bukannya dijadikan ‘lesen’ untuk menggasak pelbagai pihak di media sosial.
Teguran itu disuarakan bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris dengan menegaskan bahawa politik yang matang membina kekuatan, manakala tindakan gelojoh hanya akan merosakkan parti.
Melalui hantaran bertajuk ‘Kaca Mata Saya’ yang dikongsi di media sosialnya pada Isnin, Razali berkata, tugas utama portfolio berkenaan sepatutnya tertumpu kepada mempertahankan parti dan membaca denyut nadi rakyat.
”Hari ini, terlalu banyak kenyataan yang pada saya tidak perlu keluar. Tidak semua perkara perlu dijawab, tidak semua kritikan perlu dilawan dan tidak semua perbezaan pandangan perlu dijadikan perang terbuka di media sosial.
”Lebih malang apabila kenyataan dibuat tanpa mengambil kira sentimen pimpinan dan akar umbi Bersatu di Pantai Timur. Kalau hendak jadi ‘hero’ media sosial, silakan, tetapi jangan sampai parti menjadi mangsa,” katanya.
Sebelum ini, Razali mengesahkan telah menyerahkan surat peletakan jawatan beliau sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Julai lalu, sekali gus melepaskan jawatan yang disandangnya sejak 10 tahun lalu.
Mengulas lanjut, Razali menyifatkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini sepatutnya menjadi ‘wake-up call’ kepada kepimpinan parti untuk bermuhasabah.
”Saya pernah memikul amanah itu. Alhamdulillah, bersama pimpinan, jentera dan rakan-rakan komponen Perikatan Nasional (PN), kita melalui Pilihan Raya Umum (PRU) dengan pencapaian 31 Ahli Parlimen dan 66 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
”Tetapi jika masih tidak sedar, masalahnya bukan lagi pada keputusan pilihan raya, sebaliknya mungkin pada cermin yang enggan kita pandang,” katanya.
Dalam pada itu, Razali turut mendedahkan bahawa dalam satu mesyuarat Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Terengganu sebelum ini, Ahli Jawatankuasa (AJK) secara sebulat suara pernah mencadangkan supaya Ketua Penerangan diganti.
Bagaimanapun, wakil Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang hadir ketika itu tidak membawa cadangan berkenaan ke Mesyuarat MPT.
”Hari ini saya ulang secara terbuka kerana diam terlalu lama juga boleh menjadi satu bentuk kesilapan. Bersatu tidak akan bangkit dengan Ketua Penerangan yang paling lantang, sebaliknya yang paling bijaksana membaca keadaan, tenang mengurus perbezaan dan tajam menyusun strategi.
”Kita perlukan jurucakap parti, bukan jurucakap kemarahan. Jangan kerana mahu menang hujah di media sosial, kita kalah kepercayaan di bawah. Parti bukan pentas untuk ego individu, tetapi amanah untuk diperjuangkan,” katanya.