Milan: Seramai 16 penyokong fanatik (ultras) kelab gergasi Itali, Inter Milan dan AC Milan dijatuhi hukuman penjara antara dua hingga 10 tahun oleh mahkamah, selepas disabitkan atas kesalahan membabitkan pembunuhan, pemerasan dan pertubuhan jenayah yang berkait dengan mafia terkenal, ‘Ndrangheta.
Keputusan itu dibuat dalam perbicaraan khas secara tertutup di mahkamah keselamatan tinggi bersebelahan penjara San Vittore, Milan, susulan penahanan 19 individu pada September tahun lalu hasil siasatan oleh pendakwa Milan dan pejabat pendakwa anti-mafia kebangsaan.
Satu lagi perbicaraan membabitkan tiga lagi penyokong AC Milan akan diumumkan keputusannya pada 19 Jun ini.
Pendakwa mendakwa kumpulan ultras ini berperanan seperti ‘militia persendirian’ dengan pengaruh jenayah yang melangkaui stadium, termasuk penyusupan oleh mafia dan kumpulan pelampau kanan.
Kira-kira 200 penyokong Milan berkumpul di luar mahkamah sebagai tanda solidariti sebelum keputusan diumumkan.
Hakim Rossana Mongiardo menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Andrea Beretta, bekas ketua ultras Inter Milan yang mengaku membunuh Antonio Bellocco, tokoh utama mafia ‘Ndrangheta dan juga penyokong Inter.
Beretta, yang menjadi saksi kerajaan selepas ditahan, diberi hukuman lebih ringan kerana kerjasama yang diberikannya kepada siasatan.
Sementara itu, Luca Lucci, figura berpengaruh dalam kalangan ultras Milan dan juga disiasat dalam satu lagi kes berasingan membabitkan pengedaran dadah antarabangsa, dihukum penjara 10 tahun dan empat tahun pengawasan atas pertuduhan pertubuhan jenayah dan cubaan membunuh.
Peguam bela tertuduh sebelum itu menyifatkan kes pendakwaan sebagai ‘rumah kad yang rapuh’.
Perbicaraan ini dijalankan mengikut kaedah fast-track (pantas), tanpa kehadiran saksi dan tertutup, dengan hukuman yang dikurangkan sepertiga jika defendan bersetuju dengan proses berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan setiap tertuduh membayar pampasan serta-merta sebanyak €50,000 (RM247,000) kepada kelab Inter dan Milan, dan tambahan €20,000 (RM99,000) kepada Serie A.
Pampasan lanjut akan dibincangkan dalam perbicaraan sivil.
Pendakwa berkata, kumpulan ultras yang dikuasai mafia ‘Ndrangheta terbabit dalam penipuan penjualan tiket serta aktiviti perlindungan haram (protection racket) di kawasan gerai minuman dan parkir sekitar Stadium San Siro yang dikongsi oleh kedua-dua kelab Milan itu.
Menurut penyiasat, kes di Milan bukanlah satu-satunya di Itali yang menunjukkan pengaruh mafia dan pelampau kanan menyusup ke dalam gerakan penyokong fanatik bola sepak bagi tujuan kekerasan dan keuntungan haram.
Situasi serupa turut berlaku di Greece, yang menyaksikan puluhan tangkapan dalam siasatan terhadap hubungan antara kumpulan penyokong ganas dan sindiket jenayah.
© New Straits Times Press (M) Bhd
