Keutamaan dakwah Muslim atau non-Muslim?

APABILA berdiskusi mengenai dakwah, saya sering juga ditanya mengenai manakah yang lebih utama dari dakwah kepada sesama Islam atau kepada non-Muslim? Biasanya saya akan jawab, usaha itu mesti dilakukan secara bersepadu. Maknanya dua-dua kena buat. Dari sudut pemberat, dalam realiti zaman ini, saya meletakkan persen pemberat mesti lebih ditekankan kepada sesama Muslim.

Saya lebih selesa menggunakan istilah ‘islah’ (pembaikan atau pemulihan) kepada usaha kesedaran kepada sesama Muslim dan ‘dakwah’ kepada non-Muslim. Tapi mungkin disebabkan ramai Muslim yang jauh dari ajaran Islam atau hidup tiada beza dengan non-Muslim, maka ada yang juga menggunakan istilah dakwah kepada sesama Muslim. Saya juga terbuka dalam penggunaan istilah itu.

Advertisement

Kenapa islah kepada sesama Muslim menjadi lebih utama? Kerana non-Muslim akan sering menjadikan mereka sebagai hujah atau dalil untuk mempertikaikan Islam. Bagaimana kita nak meyakinkan mereka dengan keindahan Islam, jika mereka membandingkan teori yang kita sampaikan dengan realiti batang tubuh orang Islam yang mereka lihat sangat bercanggah dengan teori tersebut.

Jika kita katakan bahawa umat Islam adalah umat yang terbaik, mereka banding result peperiksaan anak-anak mereka dengan anak orang Islam. Kita bersyarah bahawa seks bebas itu bencana, mereka datangkan statistik kelahiran anak luar nikah kita yang tinggi. Kita katakan bahawa arak itu boleh merosakkan akal, mereka tengok statistik dadah anak bangsa kita paling ramai. Kita cuba gambarkan kehebatan politik Islam, mereka bandingkan dengan ahli politik Islam yang banyak terpalit rasuah.

Lebih membingungkan apabila kita kata judi itu tak elok, mereka akan berhujah itu ada juga ahli politik Melayu Islam yang tak setuju dan bising bila Menteri Besar Kedah tak bagi lesen buka kedai judi? 

Itulah antara cabaran kita dalam usaha dakwah untuk meyakinkan non-Muslim kepada Islam. Masih ramai dari kalangan Muslim itu sendiri menjadi fitnah kepada Islam. Sebab itu Penyatuan Ummah, Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional mestilah menjadi ruang untuk kita islah sesama Muslim di samping peluang dakwah kepada selainnya. Di samping ia sebagai wasilah untuk menolak mudharat yang lebih besar.

USTAZ HAZMI DIBOK – HARAKAHDAILY 18/11/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/100000836577438/posts/4495363647168143/