PETALING JAYA: Beregu muda negara, Kang Khai Xing-Aaron Tai mara ke pusingan kedua selepas mengetepikan gandingan veteran, Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong pada peringkat 32 terbaik Kejohanan Badminton Terbuka Singapura di Kallang, Singapura, hari ini.
Pasangan No. 27 dunia itu melakar kemenangan staright set ke atas Azriyn-Wee Kiong yang merupakan beregu ke-23 dunia 21-15, 21-17 dalam masa 30 minit di Stadium Tertutup Singapura.
Kemenangan yang dicatat Khai Xing-Aaron, bakal menemukan mereka dengan beregu No. 7 dunia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dari Indonesia pada peringkat 16 terbaik, Khamis ini.
Khai Xing-Aaron pernah bertemu Sabar-Moh Reza pada Terbuka Macau, tahun lalu yang menyaksikan mereka tewas kepada beregu berpengalaman tersebut di pusingan pertama.
Sementara itu, nasib berbeza dialami gandingan dua negara Korea Selatan dan Malaysia, Choi Sol Gyu-Goh V Shem yang tewas kepada wakil Taiwan, He Zhi Wei-Huang Jui Hsuan 21-14, 18-21, 15-21 dalam masa 50 minit.
Dalam aksi perseorangan lelaki, Leong Jun Hao terus dirundung malang apabila dia terkandas lagi pada peringkat 32 terbaik selepas akur kepada wakil Taiwan, Lee Chia Hao 21-18, 20-22, 8-21 dalam masa 54 minit.
Perseorangan wanita, Wong Ling Ching juga mengikut jejak langkah Jun Hao apabila dia tumpas kepada pemain No. 19 dunia, Riko Gunji dari Jepun 20-22, 17-21 dalam masa 49 minit. – UTUSAN




