Khaled Nordin minta hentikan kecaman terhadap pelajar susulan video tular

Khaled Nordin minta hentikan kecaman terhadap pelajar susulan video tular

Johor Bahru: Ahli Parlimen Kota Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meminta orang ramai agar menghentikan sebarang bentuk kecaman dan spekulasi terhadap seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), susulan penularan rakaman video di media sosial baru-baru ini.

Beliau berkata rakaman tersebut memaparkan sesi interaksi santai antaranya dan pelajar dalam Majlis Menyantuni Bakal Jemaah Haji 2026 serta Majlis Inspirasi Cemerlang SPM 2025 peringkat Parlimen Kota Tinggi, Dewan Undangan Negeri Sedili.

Katanya, interaksi tersebut telah disalah tafsir oleh sesetengah pihak sehingga mencetuskan pelbagai reaksi negatif termasuk kecaman terhadap pelajar terbabit.

“Sehubungan itu, adalah ditegaskan bahawa tiada sebarang isu berbangkit dalam interaksi tersebut.

“Tindak balas pelajar itu wajar dilihat sebagai reaksi spontan yang mungkin dipengaruhi perasaan gemuruh apabila berhadapan dengan Ahli Parlimen serta di khalayak ramai,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan semua pihak perlu lebih berhemah dalam memberi reaksi khususnya apabila melibatkan pelajar, bagi mengelakkan kesan negatif terhadap emosi dan kesejahteraan mereka.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata kejayaan pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang SPM itu seharusnya diraikan.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan komitmen berterusan semua pihak dalam menyokong pembangunan sahsiah serta kecemerlangan generasi muda.

“Setiap program yang melibatkan pelajar perlu diraikan dalam suasana positif dan membina,” katanya.

Sebelum ini tular rakaman video memaparkan interaksi antara Mohamed Khaled dan pelajar cemerlang berkenaan di platform Threads yang menerima kecaman oleh segelintir pihak.

Menerusi video itu, pelajar perempuan terbabit dilihat hanya menjawab “mahu jadi orang” sambil ketawa ketika ditanya berhubung cita-citanya apabila menjadi dewasa kelak, sekali gus mengundang pelbagai reaksi netizen yang menyifatkan jawapan tersebut sebagai tidak sopan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top