KUALA LUMPUR – Bukan setakat sukar mendapat keuntungan malah pengurusan pasukan Liga Malaysia (Liga M) terpaksa mengeluarkan wang sendiri susulan kekangan kewangan pasukan yang menyebabkan mereka berdepan tunggakan gaji pemain.
Itu yang terpaksa dilakukan KL City FC apabila Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stanley Bernard ‘menyelamatkan’ pasukan apabila membuat pinjaman peribadi bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji pasukan itu.
Jelas Khalid, pengurusan begitu komited dalam misi memastikan pasukan itu terus menunjukkan prestasi yang baik sekali gus membantu meyakinkan mana-mana pelabur berpotensi untuk bekerjasama dengan mereka.
“Saya ambil pinjaman peribadi dalam RM300,000, saya rasa Stanley pun lebih kurang begitu juga. Kita anggap pinjaman yang dilakukan ini sebagai komitmen kami di sini bukan untuk pegang jawatan semata-mata.
“Kita juga ada mendapat tajaan-tajaan tertentu termasuk daripada syarikat yang kecil dengan jumlah RM50,000. Ini sedikit sebanyak dapat menampung urusan pembayaran gaji pemain yang menelan perbelanjaan sehingga RM1.2 juta sebulan.
“Kita komited untuk memastikan gaji pemain dibayar dan tidak tertunggak lebih dua bulan,” katanya pada sidang media di Stadium KLFA, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Khalid menjelaskan pembayaran gaji pemain dibuat secara berperingkat kerana perlu menunggu duit daripada penaja terlebih dahulu.
“Ada beberapa pemain yang gaji bulan Ogos belum dibayar tetapi kita akan selesaikan selewat-lewatnya malam esok. Jadi hanya tinggal gaji September tetapi kita akan jelaskan pada 7 November ini.
“Apa yang kita dapat, itulah yang kita ada kerana duit tidak masuk selonggok. Ia datang daripada pelbagai sumber dan tidak dikoordinasi. Jadi kita buat susunan untuk bayar kumpulan demi kumpulan,” kata Khalid memetik laporan BH Online. – MalaysiaGazette




